UMNO Tidak Berdiri Di Atas Bahu Individu… Tetapi Melalui Semangat Ahli, Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 4 Jun – UMNO bukan berdiri atas bahu individu tetapi terus teguh melalui semangat ahli dan akar umbi, tegas Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Jelasnya, tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO menunjukkan beliau adalah oportunis politik sedangkan parti inilah yang membuka jalan kepada karier beliau sebelum ini.
“Tengku Zafrul bukanlah pemimpin politik… tetapi beliau adalah oportunis politik. UMNO yang membuka jalan politik kepada beliau. UMNO juga yang mengangkat beliau menjadi calon dan lantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Ketika senang, beliau terima. Tetapi, waktu susah… ketika hayat politik dan jawatan hampir tamat, beliau ‘cabut’. Kalau beliau nak masuk PKR, masuklah. Tetapi jangan lupa orang yang tinggalkan perang ini tidak layak balik untuk tuntut kemenangan.
“Beliau tinggalkan UMNO bukan sebab prinsip tetapi sebab selesa, nak jaga jawatan dan meneruskan cita-cita untuk menjadi menteri. Kita di bawah (akar umbi) ini berjuang bukan sebab orang lain. Kita berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, UMNO akan bangkit untuk meneruskan perjuangan dan tidak memerlukan pengkhianat yang berwajah profesional.
“Sesiapa yang setia waktu susah, itulah pejuang sebenar… yang lari tinggalkan perjuangan, kita biarkan sahaja jangan toleh ke belakang lagi. UMNO tidak runtuh sebab orang pergi setakat seorang dua ini. UMNO akan tumbang kalau kita semua selaku ahli dan akar umbi ini hilang semangat.
“Perkara tersebut tidak akan berlaku selagi ahli dan akar umbi ada bersama parti. UMNO masih hidup. UMNO akan bangkit dan kita tidak perlu pengkhianat yang berwajah profesional,” katanya. – UMNO Online