Azalina Pengerusi Mesyuarat Penggubalan RUU Bantuan Guaman 2025, Perkukuh Akses Keadilan Rakyat

Kuala Lumpur, 4 Jun – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, semalam.

Mesyuarat yang berlangsung selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara itu turut disertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Peguam Malaysia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).

RUU berkenaan dijangka memperkukuh akses kepada keadilan bagi rakyat Malaysia melalui penyediaan bantuan guaman dan pembelaan awam yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina turut menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengerusi Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin.

Pertemuan itu membincangkan inisiatif Khazanah dalam merancakkan kegiatan ekonomi di Desaru, Pengerang, khususnya dalam industri pelancongan melalui penglibatan DRH. Pelbagai potensi kerjasama turut diteroka termasuk program-program yang boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat di kawasan berkenaan.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima sembah taklimat mengenai pencapaian serta agenda reformasi undang-undang negara oleh Azalina dalam satu sesi mengadap yang berlangsung di Istana Negara.

Sesi yang berlangsung hampir sejam itu memberi peluang kepada Seri Paduka Baginda untuk meneliti pelbagai inisiatif pembaharuan undang-undang serta usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh institusi perundangan negara.

Turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah perkembangan terkini berkaitan dasar-dasar perundangan yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79