UMNO Tidak Perlukan ‘Lalang Politik’ – Penerangan UMNO Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 3 Jun – UMNO tidak memerlukan ‘lalang politik’ sebaliknya memerlukan barisan kepimpinan serta ahli yang terus setia dan berkhidmat untuk parti berkenaan demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad berkata pemimpin yang bersikap ‘lalang politik’ tidak memberi apa-apa makna kepada parti berkenaan.
“UMNO tidak perlu pun ‘lalang politik’. ‘Tiada tak mengurang, ada tidak menambah’. Ketika ini, UMNO memang memerlukan barisan kepemimpinan dan keanggotaan parti bak condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan.
“Ya, UMNO memerlukan barisan pemimpin dan ahli parti yang senantiasa membantu dan menjaga kepentingan rakyat teramai apatah lagi ketika rakyat diasak dengan pelbagai isu ekonomi termasuk kenaikan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi langkah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang meninggalkan parti dan memasang niat untuk menyertai parti lain adalah satu langkah yang tidak wajar sama sekali.
“Dah menjadi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri atas tiket UMNO, sepatutnya beliau tidak wajar meninggalkan parti keramat ini, lalu memasang niat untuk menyertai parti lain.
“Dari sudut kepemimpinan berparti, Zafrul hanya memperlihatkan dirinya bagai air di daun keladi, seorang pemimpin parti yang langsung tiada pendirian tetap dan sering berubah-ubah.
“Menyedari peri penting perjuangan UMNO tidak pernah bergantung pada batang tubuh mana-mana pemimpin yang telah meninggalkan parti keramat ini, eloklah diambil tindakan yang wajar terhadap Zafrul.”
Tambahnya lagi, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi agar kuota tujuh menteri UMNO dikembalikan adalah satu lamgkah yang wajar.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi telah pun menyatakan pendapatnya iaitu UMNO mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu, susulan tindakan Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO.
“Presiden juga secara terbuka telah menyatakan iltizam politik parti agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui prerogatif yang beliau ada, akan dapat mengembalikan kuota tersebut kepada UMNO.
“Andai telah ada kesepakatan atas semangat musyawarah untuk menggigit syor Presiden UMNO sebagai keputusan parti, UMNO Negeri UMNO mesti terus menunjukkan teladan dan integriti sebagai parti politik. iada toleransi kepada mana-mana ‘lalang politik’,” ujarnya. – UMNO Online