Tindakan Tengku Zafrul Tidak Bertanggungjawab, Berkepentingan Peribadi – Pemuda UMNO Selangor

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor berpandangan bahawa tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO adalah tidak bertanggungjawab dan berkepentingan peribadi.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah atas kapasiti beliau sebagai kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat dan negeri sebelum ini.

“Pemuda UMNO Negeri Selangor juga mengambil serius berkenaan isu peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam semua jawatan beliau di dalam UMNO dan seterusnya memohon memasuki Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi sebahagian parti kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pemuda UMNO Negeri Selangor berpendirian bahawa tindakan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab, berkepentingan peribadi dan bukanlah satu duluan ‘precedent’ atau contoh tindakan yang baik sebagai pemimpin politik.

“Kedudukan beliau dalam anggota pentadbiran kerajaan sebagai Menteri MITI adalah atas kapasiti sebagai kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat dan negeri sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Pemuda UMNO Selangor berpendirian bahawa UMNO perlu mempertahankan jumlah komposisi tujuh menteri daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Negeri Selangor berpendirian bahawa UMNO perlu mempertahankan jumlah komposisi anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan iaitu kekal tujuh orang menteri dan lima orang timbalan menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pemuda UMNO Negeri Selangor telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memperhalusi dan melihat secara menyeluruh mengenai Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

“Pemuda UMNO Negeri Selangor seterusnya mengambil berat berkenaan isu-isu serta perbahasan berkaitan Penggubalan Akta PSB khususnya yang menyentuh kepentingan dan pegangan Melayu-Bumiputera di dalam sesebuah kawasan pembangunan khususnya di bandar raya.

“Kami menggesa agar satu jaminan jelas perlu dimasukkan dalam pindaan Akta PSB yang memberikan perlindungan kepada komposisi pegangan Melayu-Bumiputera dalam sesuatu pembangunan yang dibuat di bawah Akta PSB.

“Oleh itu, Pemuda UMNO Negeri Selangor telah menubuhkan satu jawatankuasa khas diperingkat Pemuda UMNO Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor untuk memperhalusi dan melihat secara menyeluruh, seterusnya memberikan cadangan penambahbaikan kepada Akta PSB.

“Kami juga sedia memberikan sumbang saran serta pandangan kepada pihak kerajaan berkenaan penggubalan Akta PSB ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79