Khidmat Bakti UMNO Beaufort Santuni Rakyat, Teruskan Program Sumbangan Prihatin

BEAUFORT, 3 Jun – UMNO Bahagian Beaufort terus melangkah ke hadapan dalam memartabatkan agenda kebajikan rakyat melalui siri ziarah dan sumbangan di bawah Program Sumbangan Prihatin, sebagai manifestasi khidmat bakti berterusan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat menggerakkan program tersebut di bawah kendalian Biro Kebajikan UMNO Beaufort dengan tampil menyantuni beberapa keluarga yang sedang diuji dengan kehilangan insan tersayang.

Beliau percaya, kehadiran wakil UMNO bukan sekadar menyampaikan bantuan fizikal, tetapi juga membawa semangat kekeluargaan dan sokongan moral buat mereka yang berduka.

Antara keluarga yang diziarahi termasuk ialah waris Allahyarhamah Dg Atin Idris dan keluarga Allahyarham Muhamad Nurung Lagala di Kampung Tepi Laut, Menumbok selain keluarga Allahyarham Ibrahim Musrah di Kampung. Kerukan, Kuala Penyu.

Sumbangan telah disampaikan oleh jawatankuasa UMNO Bahagian yang diketuai oleh En. Marzuki bin Sidek bersama En. Abdul Rahman bin Yakop, En. Fadzrus bin Wahid, Pn. Norzianah binti Matnoor dan Ak Mohd Izzan (Setiausaha Kerja).

“Program ini bukan sekadar penyampaian sumbangan, tetapi lebih besar daripada itu – ia merupakan manifestasi kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial UMNO terhadap rakyat,” katanya.

Tidak hanya hadir ketika duka, jelas Awang Aslee, UMNO Beaufort juga turut berkongsi kegembiraan bersama keluarga yang bakal melangsungkan perkahwinan, sebagai simbolik bahawa UMNO sentiasa bersama rakyat dalam sedih dan gembira.

Antara keluarga yang menerima kunjungan ialah Siti Habibah Ahmad di Kampung Mempakul, Mariah Kaling di Kampung Melikai serta Pg. Yunus @ Jumat Matusin dan Pn. Rosni Ag Tajudin di Kampung Tepi Laut

“UMNO Beaufort bukan hanya hadir ketika pilihan raya, tetapi sentiasa ada ketika rakyat memerlukan. Khidmat bakti ini adalah denyut nadi perjuangan kami,” ujar beliau.

Dalam hal ini, Awang Aslee turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama menjayakan Program Sumbangan Prihatin ini khususnya barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian, Ketua-Ketua PDM, sukarelawan serta seluruh warga yang turut menyumbang tenaga, masa dan usaha.

Katanya, sokongan dan komitmen semua pihak inilah yang menjadikan khidmat bakti UMNO terus utuh dan sampai kepada rakyat.

“Terima kasih kepada semua yang bersama menjayakan misi kebajikan ini. Semangat kebersamaan inilah kekuatan UMNO Beaufort dalam terus berbakti kepada rakyat.

“Semoga segala jasa dan usaha diberkati serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79