Johor Peruntuk RM1.5 Juta Naik Taraf Tabika, Taska KEMAS
JOHOR BAHRU,3 Jun – Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan RM1.5 juta untuk menaik taraf Tabika dan Taska Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebook berkata kerajaan negeri, turut menyalurkan peruntukan asas keagamaan sebanyak RM1.8 juta bagi program Iqra’ dan Fardu Ain (IQFA). Beliau dalam pada itu berkata Tabika KEMAS kini mula dijajarkan sebagai feeder kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
“Ini memerlukan penyelarasan kurikulum termasuk elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), satu transformasi yang akan membawa pendidikan prasekolah Johor ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu Onn Hafiz berkata Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam yang terletak di daerah Kluang, sedang giat dibangunkan.
“Saya berpeluang meninjau perkembangan TMIYC Renggam serta beramah mesra bersama wakil-wakil belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat sukan setempat.
“Pusat belia ini sedang giat dibangunkan, selaras dengan aspirasi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim agar setiap daerah memiliki kemudahan yang menjadi ruang pembinaan sahsiah, kepimpinan dan potensi anak muda Johor,” katanya.
Setakat ini terdapat tiga TMIYC yang telah beroperasi di Johor iaitu di Hutan Bandar dan Pasir Gudang, di sini serta di daerah Muar. – BERNAMA