Iktibar Dari Tengku Zafrul, Ahli Perlu Hayati Slogan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menegaskan bahawa situasi politik semasa yang menyaksikan menteri UMNO meninggalkan parti perlu dijadikan iktibar buat seluruh ahli agar lebih memahami nilai dan prinsip perjuangan parti keramat itu.
Mengulas perkembangan terkini membabitkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau berkata, landskap politik negara kini semakin terbuka dan pelbagai, namun prinsip perjuangan UMNO kekal utuh dan perlu terus dipertahankan oleh setiap ahli.
“Slogan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ bukan sekadar kata-kata indah, tetapi komitmen dan pegangan yang wajib dijadikan amalan demi memastikan UMNO terus kekal relevan, kuat, dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, UMNO bukanlah parti individu atau dibina atas populariti semasa, sebaliknya berteraskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Katanya, UMNO dibentuk dengan semangat penyatuan bangsa bagi membela nasib umat dan mempertahankan maruah negara yang berdaulat.
“Tak apalah… itulah pilihan dan kita istiqamah teruskan perjuangan. Pengajaran perlu kita ambil dari apa yang berlaku. Hari ini, semakin ramai yang melihat parti politik sebagai satu platform peribadi.”
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO tidak pernah memaksa sesiapa untuk bersama, dan parti itu tidak boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk agenda peribadi.
“Ada yang menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk agenda sendiri. Namun, UMNO tidak pernah memaksa sesiapa untuk bersama. Parti ini berdiri atas prinsip perjuangan yang tulen dan tidak memerlukan sandaran individu semata-mata. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi asas dan roh perjuangan UMNO perlu terus dipertahankan oleh semua ahlinya.
“Apa yang lebih penting kini ialah menyatukan semula kekuatan, memperkukuh jentera parti, dan membina kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan sebenar,” ujarnya.
Tengku Adnan turut menyeru semua ahli agar menghayati kembali makna sebenar slogan parti, menjadikannya bukan sekadar laungan, tetapi sebagai prinsip dalam tindakan dan asas kepada perjuangan masa depan.
“Yakinlah bahawa perjuangan yang ikhlas kerana Allah SWT akan sentiasa diberkati dan diredhai. Semangat ahli yang tulus akan menjadi tunjang ketahanan UMNO,” katanya lagi.
Beliau menutup kenyataan dengan seruan kepada seluruh ahli parti supaya terus istiqamah dan menjadikan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ sebagai pegangan untuk masa depan UMNO yang lebih gemilang.
Untuk rekod Jumaat lepas, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR. – UMNO Online