Hayati Titah Agong, Letakkan Kepentingan Negara Atasi Kepentingan Peribadi

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, PUan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid memaklumkan UMNO sebagai parti yang berteraskan perjuangan Melayu dan Islam sentiasa menjunjung prinsip ketaatan kepada Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata UMNO meletakkan institusi raja sebagai tunjang kestabilan dan simbol perpaduan negara, justeru titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim harus menjadi panduan utama dalam sebarang tindakan politik dan dasar parti.

“Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan pentingnya pemimpin masyarakat tidak bermain politik atas isu-isu sensitif merupakan peringatan yang amat tepat pada masanya.

“Dalam suasana politik negara yang semakin rencam, titah baginda menggariskan kebijaksanaan seorang raja berjiwa rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada pemimpin agar meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok.

“Baginda secara tegas menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan untuk memperalat isu perkauman, agama dan perkara-perkara sensitif yang boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya perbalahan politik yang tidak berkesudahan dan perpecahan dalam kalangan parti, seperti yang baginda sebutkan hanya akan membawa kepada jurang yang lebih dalam antara rakyat, sehingga menjejaskan perpaduan nasional yang telah sekian lama dibina.

Tambah Bibi Sharliza titah Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa peningkatan bilangan parti politik atau kem dalam parti bukanlah petanda kematangan demokrasi jika ia mengakibatkan rakyat semakin benci-membenci.

“Ini sejajar dengan kebimbangan baginda tentang virus perpecahan yang sedang menular dalam masyarakat satu kiasan mendalam yang menggambarkan bagaimana politik yang tidak bertanggungjawab boleh menjadi wabak yang merosakkan struktur sosial negara,” ujar beliau.

Mengulas lanjut kata beliau, UMNO tidak pernah lari dari komitmen untuk sentiasa menjunjung nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda pada bila-bila masa.

Malah katanya lagi UMNO sentiasa percaya bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada kesatuan rakyatnya.

“Oleh itu, sebarang tindakan atau kenyataan politik yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum harus dielakkan.

“Politik yang matang dan beretika wajib dibudayakan dalam kalangan pemimpin, seiring dengan aspirasi Yang di-Pertuan Agong untuk melihat rakyat bersatu dan hidup dalam suasana aman sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79