Dr Asyraf Temui Pelajar Tajaan MARA Di UK, Tekankan Aspirasi Kecemerlangan Holistik
LONDON, 3 Jun – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkesempatan meluangkan masa bersama pelajar-pelajar tajaan MARA di University of Sheffield, University of Manchester serta komuniti rakyat Malaysia di Cheetham Hill, United Kingdom, semalam.
Dalam lawatan yang berlangsung dari awal pagi hingga malam itu, Dr. Asyraf Wajdi berkongsi aspirasi besar MARA dalam melahirkan generasi pelajar bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga bersifat holistik, berdaya saing di peringkat antarabangsa serta tetap teguh dengan jati diri bangsa dan agama.
“Sesi dialog seperti ini amat penting bukan sahaja untuk saya menyampaikan hasrat dan hala tuju MARA, malah untuk mendengar sendiri pandangan serta cadangan daripada anak-anak Malaysia di perantauan,” jelas beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat dan idea segar yang dikemukakan oleh para pelajar, membuktikan mereka sentiasa membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan meskipun berada jauh dari tanah air.
Dr. Asyraf juga memberi jaminan bahawa MARA akan terus komited dalam memperkasa laluan kecemerlangan bagi anak-anak bangsa menerusi sokongan berterusan dalam aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah.
“Insya-Allah, MARA akan terus memainkan peranan penting dalam membina masa depan cemerlang buat generasi muda negara.
“Jangan tinggal solat, jangan lupa baca al-Quran setiap hari dan amalkan zikir seperti al-Ma’thurat sebagai pendinding dan pemelihara kepada apa jua ujian sepanjang berada di luar negara,” katanya lagi. – UMNO Online