359 Khemah Diperuntukkan Untuk Usahawan Mikro Segamat

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Sebanyak 359 buah khemah telah diperuntukkan kepada usahawan mikro di Parlimen Segamat, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap telah mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk merasmikan Majlis Pelancaran Insentif Khemah kepada Usahawan Mikro di Segamat.

“Saya mewakili Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Pelancaran Insentif Khemah kepada Usahawan Mikro untuk kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Segamat.

“Sebanyak 359 khemah telah diperuntukkan untuk kawasan ini dengan nilai keseluruhan RM179,500.00. Ini merupakan salah satu inisiatif dalam Belanjawan 2025 yang diumum Menteri Besar tahun lalu.

“Sebanyak 6000 khemah (berbanding 2000 khemah tahun lalu) akan disampaikan kepada usahawan mikro seluruh negeri Johor melalui Perbadanan Usahawan Johor Bhd (PUJB),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar di atas inisiatif tersebut dan berharap ia menjadi suntikan semangat kepada para usahawan mikro.

“Mewakili usahawan mikro Segamat, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Johor atas inisiatif ini serta keprihatinan kepada keperluan para usahawan. Moga ia menjadi suntikan semangat kepada kita semua.

“Kami juga berkesempatan beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung Bazar Karat Segamat. Peniaga di sini antara mereka yang menerima insentif khemah ini. Alhamdulillah dan selamat maju jaya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79