Syawal Tanda Kemenangan, Istiqamah Laksanakan Ibadah

KUALA LUMPUR, 7 April – Kehadiran bulan Syawal menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.

Ia juga tanda kemenangan buat umat Islam dalam melaksanakan ibadah puasa dan mengharungi segala ujian dan cabaran dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya akar umbi UMNO dan rakyat Sabah.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara sama ada di peringkat negeri, bahagian sehingga ke akar umbi. Semoga Syawal kali ini membawa sinar dan harapan buat semua serta berbahagia dengan sanak saudara, sahabat handai dan keluarga yang tersayang.

“Kepada anda yang ingin balik ke kampung masing-masing sempena Aidilfitri ini, pandulah berhati-hati, ingat orang yang tersayang, ramai yang menanti di kampung halaman. Insya-Allah… anda sampai dengan selamat dan yang penting pandu dengan berhati-hati.

“…dan bagi rakyat di seluruh negeri Sabah yang meraikan Aidilfitri jangan lupa berhati-hati memandu, ingat orang yang tersayang, selamat sampai ke kampung halaman dan paling penting sambut Syawal pada tahun ini dengan semangat kasih sayang yang tinggi dan mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar terus memperbanyakkan ibadah sepanjang baki di bulan Ramadan ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warganegara Malaysia yang beragama Islam dan pada masa yang sama kita masih lagi dalam bulan Ramadan, jadi teruskan ibadah dengan penuh keikhlasan sebelum menyambut lebaran.

“Kepada mereka yang ingin pulang ke kampung agar dapat berhati-hati memandu kerana harus ingat bahawa ada orang yang tersayang menunggu kita di kampung halaman,” katanya lagi.

Selain itu, Jailani juga menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta pejuang parti di semua peringkat termasuk juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, cawangan, bahagian dan perhubungan negeri.

“Tidak ketinggalan juga kepada semua ahli-ahli UMNO, pejuang-pejuang parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan perhubungan negeri termasuk juga ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Semoga kita teruskan perjuangan dan istiqamah dalam parti untuk meraih kejayaan di masa mendatang,” katanya lagi.

Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Ini berikutan tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Sabtu, 29 Mac 2025 bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit