Majlis Berbuka Puasa UMNO Papar Eratkan Silaturahim Dalam Komuniti
PAPAR, 25 Mac – Majlis Berbuka Puasa anjuran UMNO Bahagian Papar telah menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh mesra dan ukhuwah yang akrab.
Ketuanya, Datuk Jamal Nerubi berkata, acara tahunan ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Papar, malah turut menggalakkan penyertaan komuniti setempat untuk bersama-sama meraih keberkatan Ramadan.
“Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam majlis ini jelas menunjukkan komitmen UMNO dalam mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan perpaduan dan semangat gotong-royong dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni serta sejahtera, malah semanagt ini wajar terus disemai.
Selain acara berbuka puasa, Jamal turut menyampaikan penyerahan Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada penerima yang layak.
“Pemberian sumbangan ikhlas turut disalurkan kepada golongan yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan UMNO Bahagian Papar dalam membantu masyarakat setempat.
“Semoga Ramadan yang penuh keberkatan ini terus menyemarakkan semangat dalam memperbanyakkan amal ibadah serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Dengan semangat kebersamaan yang ditonjolkan, UMNO Papar terus komited dalam meneruskan program-program kebajikan dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi selepas kejayaan majlis yang berlangsung di Perkarangan SMK Pengalat Besar, di sini pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said. Turut hadir adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Papar, Tamin Zainal; Naib Ketua Bahagian, Rzwan Garin Ismail; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Puteri UMNO Sabah merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Papar, Umie Nabilah Jamal, dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Fizie Sulaiman.
Kehadiran barisan kepimpinan UMNO Sabah serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Puteri, dan Pemuda serta masyarakat setempat turut memeriahkan majlis ini. – UMNO Online