UMNO Lahad Datu Perkukuh Kebersamaan Melalui Program Berbuka Puasa Perdana
LAHAD DATU, 20 Mac – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul telah menganjurkan Program Perdana Berbuka Puasa bersama USIA Bahagian Lahad Datu, JPKKP, NGO-NGO dan pelajar tahfiz di sini, pada Selasa.
Ujarnya, program ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dan menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Dalam majlis tersebut, beberapa sumbangan telah disalurkan kepada pelbagai pihak antaranya Tabung Pendidikan Melayu (UMNO) yang menyumbang RM5,000 kepada 50 orang pelajar anak-anak asnaf.
Selain itu, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) UMNO Bahagian Lahad Datu turut menerima sumbangan sebanyak RM7,400 daripada Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, selain ketua-ketua Cawangan UMNO.
Tidak ketinggalan ialah pelajar Maahad Tahfiz Ashabul Yamin, NGO-NGO Lahad Datu serta golongan asnaf yang menerima bakul makanan.
“Syukur alhamdulillah, dapat berkongsi rezeki kepada yang memerlukan dalam buan penuh keberkatan ini. Diharap agar sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban penerima serta memberi keberkatan kepada semua yang terlibat,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang hadir dan bertungkus lumus menjayakan acara tersebut.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang telah menyempurnakan program tersebut.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop; Ketua Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin; Ketua Bahagian Semporna, Manan Indanan; selain kepimpinan UMNO, Datuk Ir Aziz Julkarnain; Datuk Dr Fadilah Sarbi; Ketua MCA Sabah, Datuk Teah HK; serta AJK dari Kalabakan, Semporna, dan MCA. – UMNO Online