Masjid Tanah Lokasi Pertama Jelajah Santunan Kasih Ramadan
MASJID TANAH, 7 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati melaksanakan siri jelajah beliau menerusi Majlis Santunan Kasih Ramadan.
Memulakan jelajah pertama ke Melaka di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang Masjid Tanah, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memanfaatkan Ramadan ini bagi meraikan masyarakat setempat termasuk anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.
Sebelum majlis berbuka puasa, beliau menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan bagi meringankan beban mereka untuk menjalani Ramadan dan Syawal yang menjelang tiba.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah, dengan kehadiran kepimpinan tempatan dan orang ramai yang mengambil kesempatan bertemu dan beramah mesra bersama Ahmad Zahid.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta kepimpinan lain.
Ahmad Zahid kemudiannya bergerak ke Masjid Hamidah Khamis usai berbuka puasa bagi menunaikan solat Isyak secara berjemaah dan solat sunat terawih.
Untuk rekod beliau seterusnya akan ke beberapa negeri antaranya Terengganu, Perak, Seremban dan Perlis minggu hadapan untuk meneruskan Majlis Santunan Kasih Ramadan ini. – UMNO Online