Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Ranau Serlah Semangat Kebersamaan

RANAU, 7 Mac – UMNO Bahagian Ranau baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di Surau Ar-Rahman, Kampung Namaus Bongkud, yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keberkatan sempena bulan Ramadan.

Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat, yang hadir bersama barisan kepimpinan serta Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Ranau menganggap majlis ini menjadi satu kesempatan istimewa untuk ahli parti dan masyarakat setempat berkumpul serta mengeratkan silaturahim dalam semangat kekeluargaan.

Katanya, ia turut memberikan peluang kepada semua yang hadir untuk merasai kemeriahan bersama-sama dalam suasana yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan Ramadan.

“Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempereratkan silaturahim, malah turut mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan UMNO Bahagian Ranau terhadap masyarakat setempat,” katanya kepada UMNO Online.

Pada majlis tersebut, Junaidi bersama kepimpinan UMNO turut meluangkan masa untuk berbual dan menyantuni penduduk setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit