SLU Akta Perkhidmatan Parlimen, Komitmen Kerajaan Laksana Reformasi – Azalina

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Sesi Libat Urus (SLU) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 menjadi bukti kepada kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi Parlimen, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa sesi kedua SLU tersebut telah diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan.

“SLU berkaitan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dirancakkan lagi dengan sesi kedua bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGOs dan CSOs) untuk memberi penerangan terperinci serta sebagai platform soal jawab di samping bertukar pandangan bagi memastikan akta ini merangkumi semua aspek yang diharapkan.

“Antara organisasi yang hadir termasuklah Project SAMA, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM), CSO – Platform for Reform, Bersih, Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, beliau bersama pasukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) juga telah melaksanakan sesi libat urus bersama Speaker Dewan Rakyat dan semua Ketua-Ketua Whip Parti.

“Usai sesi tersebut, saya dan team BHEUU juga telah melaksanakan sesi libat urus bersama Tan Sri Speaker Dewan Rakyat dan semua Ketua-Ketua Whip Parti kedua-dua blok kerajaan serta pembangkang.

“Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang merupakan Ketua Whip blok Kerajaan Madani.

“Sesi SLU seperti ini merupakan bukti jelas komitmen dan kesungguhan Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi institusi Parlimen agar ianya benar-benar bebas serta berintegriti,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit