Mohamed Khaled Adakan Lawatan Ke Charles de Gaulle

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan ke kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis, Charles de Gaulle (CDG) pada Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah mengadakan lawatan tersebut ketika CDG sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.

“Hari pertama Ramadan saya tahun ini dimulakan dengan lawatan ke kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) Tentera Laut Perancis, Charles de Gaulle (CDG) yang sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.

“Ketibaan saya di CDG disambut kawalan kehormat yang dikendalikan oleh Tentera Laut Perancis. Kapal pengangkut pesawat tersebut merupakan ‘center force’ untuk Carrier Strike Group (CSG) Perancis.

“CSG tersebut adalah satu daya Tentera Laut Perancis yang menggabungkan pelbagai sumber dan kekuatan di sekitarnya, bagi membolehkan CDG menjalankan misi yang pelbagai,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa Carrier Strike Group Perancis baru sahaja menamatkan latihan bersama negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai negara.

“Semasa lawatan saya ke ‘aircraft carrier’ Tentera Laut Perancis CDG, saya menerima taklimat terperinci mengenai kapal tersebut dan operasinya oleh Rear Admiral Jacques Mallard.

“Kapal CDG ini menempatkan, antara lain, pesawat pejuang Rafale dan pesawat Hawkeye, serta diiringi kapal-kapal pendamping seperti ‘destroyers’ dan ‘supply ship’. CSG Perancis baru sahaja menamatkan latihan bersama negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai negara. Ia merupakan antara usaha negara tersebut dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau ini, termasuklah dengan Malaysia.

“Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Haji Muhamad Norazlan Aris yang mewakili Panglima Tentera Udara,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit