Isu Beras Campur: Pemuda UMNO Gesa Siasatan Menyeluruh Dijalankan

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu menggesa agar siasatan secara menyeluruh dijalankan melibatkan isu beras putih tempatan yang dicampur dengan beras import.

Ketuanya, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) jelas telah bercanggah dengan kenyataan rasmi kerajaan pada tahun 2023.

“Pemuda UMNO Bahagian Batu memandang serius pendedahan terbaru yang mendakwa beras putih tempatan telah dicampur dengan beras import, seperti didedahkan oleh kajian MARDI.

“Kajian ini jelas bercanggah dengan kenyataan rasmi kerajaan pada tahun 2023 yang menafikan sebarang unsur penyelewengan dalam isu beras tempatan dan import. Isu ini bukan sekadar melibatkan ketidaktelusan dalam industri beras, tetapi juga berkait rapat dengan hak pengguna dan keadilan terhadap rakyat.

“Selama ini, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan harga beras dan isu bekalan yang tidak menentu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, kerajaan perlu tampil untuk memberikan penjelasan yang telus kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran tanpa menjejaskan kepercayaan mereka.

“Jika benar wujud sebarang manipulasi dalam pengedaran beras, ini adalah satu pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan kami menggesa agar saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh dilaksanakan secepat mungkin.

“Pemuda UMNO Bahagian Batu menuntut agar kerajaan tampil memberi penjelasan yang telus dan bertanggungjawab terhadap pendedahan ini. Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan sebarang percubaan untuk menyembunyikan maklumat hanya akan menjejaskan lagi kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang bentuk manipulasi diambil tindakan tegas dan tanpa kompromi.

“Kami juga mendesak agar satu siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan tidak ada unsur salah guna kuasa atau kepentingan pihak tertentu dalam industri beras negara. Jika terdapat mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang bentuk manipulasi, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.

“Pemuda UMNO Bahagian Batu akan terus bersuara bagi pihak rakyat dalam isu ini. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kepentingan rakyat dipermainkan. Kerajaan harus membuktikan bahawa mereka benar-benar mengutamakan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar memberi jaminan kosong tanpa tindakan yang jelas,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan MARDI mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit