Isu Waktu Persekolahan Bulan Ramadan: Kenyataan Fadhlina Diputar Belit – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai waktu persekolahan semasa bulan Ramadan telah diputar belit oleh sesetengah pihak.
Menerusi hantaran video di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menjelaskan bahawa terdapat garis panduan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai waktu persekolahan pelajar sesi petang untuk bulan Ramadan.
“Tular di Facebook mengenai kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai waktu persekolahan pelajar sesi petang. Beliau mengatakan bahawa ‘kenapa nak tamatkan waktu persekolahan awal… bukan boleh buka puasa pun’.
“Pada saya, beliau hanya berseloroh ketika berkata sedemikian. Saya juga melihat Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin ada mengeluarkan kenyataan maka saya rasa terpanggil untuk menjelaskan isu ini.
“Ada segelintir pihak yang bertindak ‘memotong’ video tersebut pada ayat itu sahaja. Tetapi Fadhlina ada sebut selepas itu bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut pekeliling yang sedia ada,” katanya.
Menurutnya, garis panduan yang telah dikeluarkan oleh KPM pada Mac 2022 telah digunapakai semula pada Ramadan tahun ini, membolehkan para pelajar sesi petang pulang pada jam 5.30 petang untuk semenanjung Malaysia manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada jam 5.00 petang.
“Untuk makluman masyarakat di luar sana, bagi sesi petang biasanya waktu persekolahan akan tamat pada jam 6.30 petang. Takkanlah kejam sangat menteri ni… pukul 6.30 petang balik, nak berbuka puasa pula pukul 7.20.
“Tetapi, mengikut pekeliling yang dikeluarkan pada Mac 2022, memang para pelajar boleh balik awal iaitu daripada jam 6.30 petang, balik 5.30 petang. Kalau untuk Sabah, Sarawak dan Labuan balik pukul 5.00 petang.
“Itulah yang dikatakan mengikut pekeliling sedia ada. Jadi saya berharap video ini dapat memberi penjelasan kepada semua terutamanya ibu bapa. Jangan risau, tetap akan balik awal juga,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan bahawa KPM tidak bercadang untuk memendekkan waktu persekolahan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sesi persekolahan akan berlangsung seperti biasa mengikut garis panduan sedia ada.
Menerusi pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM bertarikh 17 Februari 2025 memaklumkan bahawa waktu persekolahan sesi petang pada bulan Ramadan akan menggunapakai pekeliling 31 Mac 2023 sebagai rujukan.
Pekeliling tersebut menyebutkan bahawa waktu persekolahan sesi petang akan tamat pada jam 5.30 petang untuk semenanjung Malaysia manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada jam 5.00 petang. – UMNO Online