KPWKM Adakan Sesi Libat Urus, Siap Siaga Hadapi MTL 2024 – Noraini

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengadakan sesi libat urus sebagai persediaan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPWKM sentiasa melibatkan kementerian dan agensi-agensi lain dalam pelaksanaan fungsinya yang dilihat banyak mengendalikan isu merentas bidang kuasa.

“KPWKM dalam pelaksanaan fungsi dan tanggungjawabnya sentiasa melibatkan kementerian bersama agensi lain termasuk kerajaan negeri melalui kolaborasi strategik pelbagai program serta sesi libat urus. Ini kerana kebanyakan isu ditangani KPWKM adalah merentas agensi dan di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian serta agensi.

“Sesi libat urus bagi kesiapsiagaan menghadapi MTL tahun 2024/25 telah diadakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara. Ia melibatkan 22 siri latihan amal dan simulasi pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Seramai 2,000 orang telah terlibat yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana, pemimpin tempatan dan sukarelawan JKM,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, JKM turut memberikan penerangan mengenai sistem dan aplikasi yang dipakai untuk memudahkan urusan pendaftaran mangsa bencana di PPS.

“Semasa sesi libat urus ini, JKM turut memberikan penerangan berhubung penggunaan sistem MyInfo Bencana JKM ataupun MyID JKM. Aplikasi ini adalah untuk memudahkan pendaftaran mangsa bencana di PPS.

“Inisiatif menambah baik proses penyaluran bantuan juga adalah kerjasama dengan kerajaan negeri melalui integrasi Sistem e-Bantuan JKM dan InSpec. Program pengintegrasian yang bermula daripada Februari 2022 dan selesai pada September 2023 ini telah mendapat kerjasama penuh daripada sebelas kerajaan negeri di semenanjung Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Lembaga Pendudukan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedang mengadakan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-6 (KPKM6-2024) untuk mendapatkan data terkini berkaitan kependudukan.

”LPPKN sedang mengadakan KPKM6-2024 bermula dari 15 Julai sehingga 31 Disember 2024 untuk mendapatkan maklumat terkini dan data berkaitan kependudukan, keluarga serta kesihatan reproduktif penduduk di Malaysia.

“Data yang diperoleh daripada kajian ini akan membantu negara merangka dasar berkaitan keluarga dan kependudukan yang lebih responsif kepada keperluan serta situasi semasa.

“Satu lagi program yang melibatkan kerjasama kerajaan negeri adalah Pelan Strategi Kebangsaan untuk menangani punca perkahwinan bawah umur. Pelan ini mengandungi tujuh objektif, 17 strategi dan juga 58 program dengan penglibatan daripada pelbagai agensi di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan antarabangsa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi jaminan bahawa KPWKM akan sentiasa melibatkan semua pemegang taruh untuk mencapai penyelesaian holistik bagi menangani isu sosial.

“KPWKM sentiasa memastikan keterlibatan semua pemegang taruh termasuk kerajaan negeri, agar pandangan dan maklum balas dari semua didengari serta diambil kira dalam melaksanakan program termasuk inisiatif kementerian.

“Ini dapat dicapai melalui pelbagai bentuk kolaborasi dan kerjasama yang jitu di antara KPWKM dengan semua pihak, kita akan dapat mencapai penyelesaian yang holistik serta lebih berkesan dalam menangani isu sosial dalam masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit