Dewan Rakyat: Jempol Minta Penjelasan Status Pembinaan Lebuh Raya Madani Seremban-Jempol

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli meminta penjelasan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenai status pembinaan projek Lebuh Raya Madani Seremban-Jempol yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.1 bilion kepada KKR untuk menaiktaraf jalan-jalan bagi mencapai objektif ‘accessibility and mobility’ secara menyeluruh.

“Kerajaan memperuntukkan sekitar RM2.1 bilion kepada KKR untuk naik taraf jalan-jalan, agar objektif ‘accessibility and mobility’ yang menyeluruh dapat dicapai. Dalam hal ini, Jempol ingin membangkitkan semula isu naik taraf jalan utama Palong, FT-1283 sepanjang 32 kilometer yang sempit, kecil, gelap, dan banyak berlaku kes kemalangan.

“Untuk maklumat, di bawah perwartaan semula Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan, Jalan Felda Palung FT-1283 ini telah dinaik taraf kepada FT44, Jalan Palong.Kajian statistik kemalangan laluan FT44 pada tahun 2023 dan 2024 adalah sebanyak 201 kes kemalangan yang tertinggi di daerah Jempol melibatkan 14 kemalangan maut, sebelas kemalangan parah, 32 kemalangan ringan, dan 144 kemalangan rosak.

“Jempol mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KKR atas keprihatinan terhadap isu ini dan telah turun melawat ini pada 29 Jun 2024. Susulan lawatan KKR tersebut apakah perancangan dan tindakan pihak KKR berhubung permohonan projek naik taraf laluan FT44 jalan utama Palong tersebut?” soalnya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa pembinaan Lebuh Raya Madani Seremban-Jempol adalah mendesak untuk menyuraikan kesesakan trafik dan memangkin ekonomi.

“Saya ingin membangkitkan semula mengenai permohonan untuk membina satu lebuh raya baharu iaitu Lebuh Raya Madani Seremban-Jempol yang dilihat mendesak. Pembinaan lebuh raya ini adalah untuk menyuraikan kesesakan trafik di laluan Seremban, Kuala Pilah, Jempul.

“Ia juga bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Negeri Sembilan Timur dan kawasan yang bersempadan dengan Negeri Pahang serta Negeri Johor. Sudah pastinya lebuh raya yang dicadangkan ini akan menjadi laluan utama menghubungkan KLIA dan juga Lembah Klang melalui Seremban, Kuala Pilah, Jempol terus ke Rompin, Kuantan, Bera, Temerloh, Bentong, dan Segamat.

“Jajaran lebuh raya baharu ini akan memberi manfaat kepada sembilan daerah keseluruhannya di kawasan yang tersebut. Cadangan ini telah dipersetujui semasa lawatan Perdana Menteri ke Jempol pada 27 Julai 2023. Jadi, apakah status permohonan cadangan pembinaan Lebuh Raya Madani Seremban-Jempol yang juga telah pun disokong penuh oleh Kerajaan Negeri Sembilan?” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit