Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2024: Ab Rauf Ajak Bersama Rasai Kemeriahan
MELAKA, 1 Nov – Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh mengajak orang ramai khususnya para pelancong untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM 2024) yang sedang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.
Ujarnya, acara ini akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November 2024 ini.
Terdahulu beliau telah hadir menyaksikan kemeriahan pertunjukan KUAM semalam yang merupakan hari pertama carnival berlangsung.
Katanya, meski baru sahaja dibuka, sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan dengan pelbagai pertunjukan dan pameran daripada 28 agensi, termasuk syarikat penerbangan.
“Karnival ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keunikan dan kemeriahan KUAM 2024,” katanya kepada UMNO Online.
Jelas, pengunjung juga berpeluang melihat pameran aset-aset ketenteraan, termasuk 12 aset Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti kereta kebal Malaysian Infantry Fighting Vehicle dan Gempita 8×8 Anti Tank Guided Weapon (ATGW).
“Ini adalah kesempatan yang tidak boleh dilepaskan untuk menyaksikan pelbagai jenis pesawat, helikopter, dron, dan aset ketenteraan yang belum pernah dipamerkan sebelum ini.”
Hadir sama menyertai beliau di KUAM 2024 ialah, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Abdul Razak Abdul Rahman. – UMNO Online