Sokongan UMNO/BN Untuk Najib, Mudah-mudahan Diberikan Keadilan Sewajarnya – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghormati keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela diri.
Beliau berkata keputusan tersebut bukanlah satu pengesahan telah terbukti bersalah sebaliknya ruang dan peluang untuk membela diri.
“Saya, dengan rasa penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang dan tanpa sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat dapatan prima facie selanjutnya memanggil untuk membela diri mantan pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Datuk Seri Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.
Ujar Ahmad Zahid, beliau yakin bahawa Najib berada di pihak yang benar.
“Mewakili UMNO dan BN juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Datuk Seri Najib berada di pihak yang benar. Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan.
“Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan, dan mudah-mudahan Datuk Seri Najib diberikan keadilan sewajarnya,” katanya lagi.
Dilaporkan, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan tersebut setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. – UMNO Online