Ekonomi GIG: Kesuma Main Peranan Penting… Perkenal Inisiatif, Kerjasama Antara Agensi
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memainkan peranan penting untuk memperkenalkan inisiatif dan kerjasama antara agensi-agensi berkaitan bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi gig.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri Konvensyen Ekonomi GIG Malaysia Madani, pada Isnin.
“Alhamdulillah, sebelah petang Isnin saya berpeluang menghadiri Konvensyen Ekonomi GIG Malaysia Madani yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Tahniah Datuk Seri Mohamad Sharkar Shamsudin, sekretariat GIG dan semua yang menjayakan. Konvensyen ini adalah salah satu usaha untuk memperkukuhkan sektor ekonomi gig di Malaysia dengan menyediakan platform yang lebih mantap bagi pekerja dan majikan.
“Kesuma memainkan peranan penting dalam usaha ini dengan memperkenalkan inisiatif dan kerjasama antara agensi-agensi berkaitan bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi gig,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, komitmen kerajaan menyokong ekonomi gig ini mampu untuk memperkukuhkan kewangan rakyat yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Sokongan penuh daripada kerajaan ini diharapkan dapat membantu pekerja gig menikmati lebih banyak manfaat seperti perlindungan sosial dan akses kepada peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran.
“Komitmen kerajaan dalam menyokong ekonomi gig ini bukan sahaja membantu mereka yang terlibat dalam sektor ini untuk memperkukuh kedudukan kewangan mereka, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar industri dapat berkembang pesat di samping mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan konvensyen tersebut.
“Dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kesuma, diharapkan industri ini dapat berkembang dengan lebih pesat dan memberi impak positif kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen ini. Semoga usaha ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Pada Selasa media melaporkan bahawa satu akta baharu berkaitan pekerja gig akan digubal dalam usaha melindungi kebajikan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pembentangan rang undang-undang (RUU) itu akan dibuat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, setelah selesai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025. – UMNO Online