Disalah Tanggapan, Saarani Tampil Beri Pencerahan

IPOH, 26 Okt – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad terpanggil untuk menjelaskan salah tanggapan yang timbul
berikutan kenyataan beliau dalam satu sidang akhbar mengenai perbuatan sekumpulan individu mengibarkan bendera negara China dalam acara sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Ujar Saarani, pandangannya bahawa tindakan mengibarkan bendera asing oleh warga negara itu sendiri bukanlah sesuatu kesalahan telah disalaherti sehingga mengundang salah faham, malah ada pihak yang menjadikannya isu berbaur perkauman.

Pendirian Kerajaan Negeri sangat jelas bahawa apa jua kegiatan dalam mana-mana penganjuran atau perhimpunan adalah tidak menjadi kesalahan selagi ia memenuhi dan mengikuti peraturan serta undang-undang sedia ada, jelas Saarani.

“Dalam sidang akhbar itu, saya menekankan bahawa perbuatan yang menjadi kesalahan adalah jika ada mana-mana warganegara Malaysia mengibarkan bendera asing kerana ia adalah tindakan yang dilihat mengagung-agungkan negara lain.

“Ini kerana, tindakan mana-mana warga asing mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing di luar negara bukan sesuatu yang janggal, malah pemandangan sedemikian biasa dilihat dalam banyak perhimpunan di luar negara termasuk dalam temasya sukan.

“Bagaimanapun, perbuatan sedemikian tetap tertakluk dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sesebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Saarani, atas dasar itu, dalam sidang akhbar semalam, beliau mengesyorkan agar kes berkenaan disiasat oleh pihak berkuasa sama ada ia melibatkan warga asing atau sebaliknya.

Manakala katanya lagi, dalam konteks kejadian di Teluk Intan, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kumpulan berkenaan mengikut saluran undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Sehubungan itu, Saarani menyeru semua pihak perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas jika ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan atau undang-undang sedia ada. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.