UMNO Sipitang Teruskan Program Ziarah Kasih Demi Rakyat

SIPITANG, 24 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh, meneruskan program ziarah kasih dengan tujuan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat di sekitar Zon Ulu Sipitang serta beberapa kampung berdekatan.

Ujarnya, program ini adalah inisiatif UMNO untuk memastikan setiap rakyat menerima perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

“Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan mendapat sokongan yang padu daripada ketua cawangan serta respon yang sangat baik daripada masyarakat setempat,” katanya.

Jelas beliau ziarah kasih ini diadakan sebagai langkah untuk mempereratkan hubungan antara UMNO dan rakyat, serta mendengar secara langsung keluh-kesah mereka mendepani pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian.

Abdul Rahman menegaskan bahawa inisiatif seperti ini adalah sebahagian daripada agenda UMNO untuk membela rakyat.

“Kami komited untuk membantu masyarakat dalam pelbagai aspek sedaya yang mungkin termasuk menyediakan barangan keperluan harian bagi mereka yang memerlukan. Ini adalah tanggungjawab sosial kita sebagai pemimpin,” tambahnya.

Turut hadir dalam program ini adalah beberapa pemimpin UMNO tempatan termasuk Setiausaha UMNO Bahagian, Jainie Puasa; Ketua Wanita UMNO Sipitang, Amuilin Junsin; serta ketua-ketua cawangan yang lain yang bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang terjejas.

Dalam hal ini, Abdul Rahman juga mengajak semua anggota UMNO untuk terus bergerak aktif dalam masyarakat dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.

“Program Ziarah Kasih bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan bantuan, tetapi juga untuk memperkukuhkan ikatan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.

“Melalui program seperti ini, kita dapat membina kepercayaan rakyat dan menunjukkan bahawa UMNO sentiasa ada untuk mereka. Kami ingin memastikan tidak ada seorang pun yang terpinggir dalam proses pembangunan dan bantuan yang disediakan,” katanya.

Jelasnya, program ini juga selaras dengan usaha UMNO untuk mendekati seberapa ramai masyarakat termasuklah generasi muda dan mendapatkan sokongan mereka.

“Dengan melibatkan pemuda dan wanita dalam setiap aktiviti, UMNO berusaha untuk memupuk rasa tanggungjawab dan kepedulian terhadap masyarakat di kalangan generasi baru.

“Melalui pelbagai inisiatif seperti Ziarah Kasih, kita berharap dapat mencapai objektif untuk menjadi suara rakyat yang membawa perubahan positif.”

Abdul Rahman juga berharap agar segala usaha yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada semua dan menjadikan Sipitang sebuah kawasan yang sejahtera dan harmoni. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit