Tubuh Organisasi Melibatkan Kanak-Kanak Perlu Ikut Garis Panduan, Tegas Azalina

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mana-mana pihak yang mahu menubuhkan organisasi melibatkan kanak-kanak perlu mengikut garis panduan.

Katanya ini kerana, penglibatan kanak-kanak dalam mana-mana organisasi perlu mendapat pemantauan yang lebih terperinci daripada kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata demikian terhadap pendedahan salah laku terhadap kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

“GISB atau organisasi lain jika mereka menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan kanak-kanak, mereka mesti mempunyai peraturan tertentu yang sangat tegas.

“Agensi-agensi di peringkat negara atau kaunselor tempatan sepatutnya lebih berhati-hati seperti amber alerts untuk lebih sensitiviti jika ia melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Episod 1: Perlindungan Kanak-Kanak & Kewarganegaraan yang disiarkan di Facebook Cikgu Undang-Undang, malam tadi.

Dalam pada itu panel iaitu Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki dan Pengasas bersama Yayasan Chow Kit dan Aktivis Hak Kanak-kanak, Datuk Dr Hartini Zainudin senada dalam harapan mereka untuk ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung jenayah yang dikaitkan dengan GISB.

Menurut Dr Farah, ini kerana RCI berperanan dalam melaksanakan penyiasatan yang menyeluruh membabitkan salah laku dalam GISB.

“Kita perlu RCI supaya satu penyiasatan yang telus kerana jika anda minta polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiasat, mereka ada had tetapi jika ada RCI anda boleh pergi kepada kerajaan Pusat atau negeri.

“Kerana sesungguhnya memang isu kanak-kanak di bawah kes GISB ini sangat menggemparkan dan kami sangat berharap dengan adanya di Parlimen sudah dibahas dan sebagainya akan membawa kepada RCI,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.