Belanjawan 2025 Perlu Tumpu Kemahiran Anak Muda, Tingkat Kebolehpasaran Industri Pekerjaan – Nooryana

KUALA LUMPUR, 18, Okt – Exco Puteri UMNO Malaysia, Nooryana Najwa berharap kerajaan dapat memberi tumpuan untuk meningkatkan kemahiran kepada anak muda bagi kebolehpasaran dalam dunia pekerjaan.

Menurut beliau, melalui ini ia sekaligus menjana pembangunan dan ekonomi negara.

“Berharap untuk melihat pelaburan yang lebih lanjut dalam peningkatan kemahiran anak muda Malaysia agar mereka sesuai untuk bekerja dalam sektor ekonomi bernilai tinggi dan strategik.

“Mempersiapkan anak muda Malaysia untuk pekerjaan dalam industri pertumbuhan baharu seperti blockchain, robotik, kecerdasan buatan (AI) , bioteknologi, teknologi bersih dan kereta pandu sendiri akan memastikan daya saing ekonomi Malaysia pada masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Nooryana yang juga Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai dalam pada itu turut sama mengulas lanjut berkenaan pengukuhan Ringgit dan peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Pengukuhan Ringgit dan peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dari 4.3 peratus kepada 4.9 peratus oleh Bank Dunia, fokus utama kerajaan seharusnya adalah penyatuan fiskal.

“Mengurangkan hutang kerajaan yang berjumlah RM1.5 trilion sambil mencari cara untuk meningkatkan hasil kerajaan tanpa menjejaskan perbelanjaan kebajikan.

“Sudah tentu, antara soalan utama di fikiran rakyat ialah adakah akan berlaku pengurangan subsidi petrol.

“Jika itu termasuk dalam rancangan jangka pendek kerajaan, adakah terdapat program bantuan tunai yang dirancang untuk mereka yang layak bagi memastikan kuasa beli segmen ini terpelihara,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.