Mohd Jafni Terus Komited Pastikan Pembelaan, Aktifkan Gerak Kerja Demi Rakyat
KULAI, 9 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menekankan bahawa usaha untuk memastikan rakyat mendapat pembelaan dan sentiasa berada dalam kehidupan terbaik sentiasa menjadi fokus, terutama ketika menghadapi bencana ribut baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai telah meninjau Flat Cengal Taman Putri Kulai yang terjejas akibat ribut hingga menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung.
Dalam lawatan tersebut, beliau mengumumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri di bawah urus tadbir menteri besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM 485,000 melalui Tabung Kecemasan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.
Katanya, peruntukan ini bertujuan untuk kerja-kerja baik pulih bumbung yang akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kulai.
“Kerja-kerja baik pulih dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan. Ini adalah langkah proaktif untuk memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan ini berterusan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap isu-isu membabitkan kepentingan rakyat dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian dengan komitmen serta kerjasama dari pelbagai pihak.
Dalam hal berkaitan isu kesesakan lalul intas pula, Mohd Jafni memaklumkan telah membincangkan enam projek yang dirancang bagi menyelesaikan masalah terbabit.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat bagi menaiktaraf sistem peredaran trafik di Persimpangan Bandar Putra – Indahpura Kulai. Mesyuarat ini melibatkan pegawai daerah dan pemaju utama untuk kesesakan lalu lintas dan sistem peredaran trafik dalam jangka masa pendek dan sederhana.”
Ujarnya, kos bagi kerja-kerja menaiktaraf ini dianggarkan bernilai RM32 juta.
“Semua projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dan pemaju telah beri komitmen untuk menanggung semua kos naik taraf yang diperlukan.”
Beliau juga menambah bahawa laluan dari Bandar Putra ke Isynergy akan dapat dipendekkan dari 5.3 km kepada 4.3 km dengan tempoh siap selama lapan bulan dan kerja-kerja tersebut telah dimulakan sejak minggu lalu.
“Semua langkah ini diambil sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat tidak hanya mendapat pembelaan dalam situasi sukar tetapi juga menikmati kehidupan yang lebih baik melalui inisiatif-inisiatif pembangunan yang berterusan.
“Semoga segala urusan untuk memudahkan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online