Tolak MoU Kerajaan Perpaduan: Tindakan PN Tidak Cerdik, Belakangkan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dilihat sebagai tidak cerdik dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, isu yang digembar-gemburkan oleh PN sebagai alasan adalah tidak masuk akal sama sekali.

“Respon saya berkaitan dengan MoU Kerajaan Perpaduan, jelas ianya tidak seperti digambarkan oleh kepimpinan pembangkang sebelum ini yang menyatakan MoU ini menghalang mereka untuk bercakap soal agama, bangsa dan negara.

“Apabila MoU ini telah ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof, jelas bahawasanya tohmahan dan fitnah yang dibuat oleh pembangkang berjaya dihentikan.

“Sebenarnya tidak ada sebab dan alasan pembangkang untuk menolak draf MOU tersebut. Jika mereka nak membuat penambahbaikan, mereka perlu kepada pembetulan. Draft tersebut tidak bersifat kekal, ia perlu kepada rundingan kedua-dua belah pihak,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pihak pembangkang tidak sepatutnya menolak MoU tersebut mentah-mentah tanpa memikirkan cara untuk memperbetulkan atau memberi cadangan penambahbaikan.

“Jika pihak pembangkang tidak bersetuju dengan syarat yang dinyatakan dalam MoU tersebut, mereka berhak untuk memperbetulkan ataupun memberikan pandangan dan cadangan untuk meningkatkan kefahaman antara pembangkang serta kerajaan. Bukannya menolak mentah-mentah atas alasan kerajaan menyekat suara mereka.

“Jika melihat kepada sejarah MoU yang berlaku ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, ketika itu seluruh pembangkang bersetuju menerimanya. Bukan bermakna pembangkang tidak boleh bersuara di dalam Parlimen, tetapi mereka tidak boleh mencetuskan ketidakstabilan politik. Itu yang paling penting.

“Melihat kepada segmen dalam draf MoU tersebut, pada saya tidak ada sekatan-sekatan untuk pihak pembangkang menyuarakan isi hati dan suara rakyat di dalam Parlimen. Bahkan ia lebih neutral, lebih baik untuk memastikan negara kita berjalan dan urus tadbir negara stabil,” katanya lagi.

Tegasnya, PN menolak tawaran Kerajaan Perpaduan tersebut kerana tidak mahu mengisytiharkan aset mereka dan enggan menjadi semak dan imbang dalam pentadbiran.

“Keputusan pembangkang menolak MoU tersebut adalah tindakan yang tidak cerdik dan membelakangkan kepentingan rakyat. Sepatutnya inilah peluang mereka untuk mendapatkan keistimewaan walaupun sebagai pembangkang. Keistimewaan tersebut bukan untuk wakil rakyat tetapi kepada rakyat.

“Jadi kenapa takut? Kenapa tidak bersetuju dengan draf MoU tersebut? Sepatutnya mereka menerima seperti pembangkang di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya yakin antara sebab mereka menolak adalah kerana tidak mahu mengisytiharkan harta.

“Kerajaan Persekutuan telah pun berlaku jujur dan transparent, tidak ada sorok-sorok untuk menunjukkan draf tersebut. Tetapi, puak pembangkang pula sibuk untuk tidak mengisytiharkan harta atas alasan mereka suara disekat. Mereka tidak mahu menjadi semak dan imbang kepada kerajaan, bahkan ada kepentingan peribadi sehingga menolak MoU tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa PN tidak akan menolak tawaran tersebut sekiranya mereka memikirkan mengenai kebajikan rakyat, agama dan bangsa.

“Seperkara yang kita kena ketahui, peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang tidak diwajibkan dan disyaratkan dalam perlembagaan. Kalau tidak bagi pun tidak menjadi kesalahan. Tetapi untuk moralnya, kerajaan nak bagi juga kepada pembangkang.

”Tetapi pembangkang kena terima syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat-syarat tersebut bukannya payah sangat pun… menandatangani MOU supaya negara dan kepimpinan kita berada dalam keadaan yang stabil. Tidak ada tindakan-tindakan macam nak ‘tebuk atap’ dan sebagainya.

“Ini adalah satu tindakan yang baik. Ekonomi negara sedang berada dalam landasan. Ringgit Malaysia (RM) sudah mengukuh dan banyak inisiatif kepada rakyat akan sampai dengan kestabilan politik dan ekonomi negara. Tidak ada sebab pembangkang menolak MOU ini sekiranya mereka meletakkan kepentingan rakyat, negara, agama dan bangsa di hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit