UMNOSiswa Sokong Misi, Visi UiTM Majukan Pendidikan Pembangunan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa) mengutuk sekeras-kerasnya usaha yang tidak bertanggungjawab di samping berdiri teguh menyokong misi dan visi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memajukan pendidikan serta pembangunan bumiputera.

Ketua Penerangan Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia, Firdaos Yusof menerusi satu kenyataan menegaskan dakwaan penulis, Andrew Sia bahawa UiTM adalah dasar apartheid tidak berasas.

“Saya dengan tegas menolak dan tidak menyokong penulisan di ruang kolumnis yang mengaitkan UiTM dengan dasar apartheid.

“Dakwaan ini adalah tidak berasas dan mengelirukan. UiTM ditubuhkan untuk memberikan peluang pendidikan kepada bumiputera di Malaysia, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas wajar dipertimbangkan terhadap individu yang sengaja mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

“Penulis yang membuat kenyataan ini jelas gagal memahami konsep hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Justeru, saya berpendapat bahawa tindakan tegas, termasuk penggantungan kewarganegaraan, wajar dipertimbangkan terhadap individu yang dengan sengaja menyebarkan fitnah dan mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

“Sekali lagi, saya mengutuk sekeras-kerasnya usaha-usaha yang tidak bertanggungjawab ini di samping berdiri teguh menyokong misi dan visi UiTM dalam memajukan pendidikan serta pembangunan bumiputera,” katanya lagi.

Terdahulu, tular sebuah artikel yang ditulis oleh Andrew Sia di ruangan portal MalaysiaKini dan ia mendapat perhatian seluruh kepimpinan UMNO.

Untuk rekod, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh telah menggerakkan seluruh anggota agar laporan polis dibuat terhadap penulis tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.