Jalin Kebersamaan, Shahaniza Terus Dekati Masyarakat Orang Asli
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berbesar hati turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di beberapa perkampungan di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang memaklumkan, kunjungan berkenaan melibatkan Kampung Paya Taman, Bot Bot dan Paya Besar di Chenor.
“Saya berkesempatan turun beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Taman, Chenor. Dalam suasana yang cukup mesra, kami turut menyampaikan Kit Makanan Bantuan Negeri Pahang sempena Hari Orang Asli Sedunia kepada keluarga-keluarga di sini.
“Paling menyentuh hati apabila dapat mendekati mereka, mendengar cerita dan melihat sendiri kehidupan keluarga serta anak-anak kecil di kampung ini.
“Bantuan mungkin berupa barangan keperluan harian, tetapi yang lebih penting ialah rasa kebersamaan bahawa tiada siapa harus terasa tersisih daripada arus pembangunan dan perhatian kerajaan negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Shahaniza, bantuan yang disampaikan bukan sekadar barangan keperluan harian, sebaliknya menjadi tanda keprihatinan agar masyarakat Orang Asli tidak berasa tersisih daripada arus pembangunan serta perhatian Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, hujan lebat yang turun ketika kunjungan ke Kampung Orang Asli Bot Bot tidak menghalang usaha untuk terus mendekati masyarakat.
“Walaupun hujan turun dengan lebat, ia tidak menghalang kami untuk terus bersama masyarakat di sini duduk berbual, bertanya khabar dan mendengar sendiri cerita mereka.
“Saya suka suasana begini. Tak perlu terlalu rasmi. Kita datang, kita duduk bersama, kita dengar dan kita fahami apa yang mereka perlukan. Jauh atau dekat, hujan atau panas, insya-Allah kita tetap sampai,” ujar beliau.
Sementara itu, ketika berada di Kampung Orang Asli Paya Besar, Shahaniza berkata kehadiran masyarakat setempat termasuk anak-anak dan warga kampung yang meluangkan masa untuk berbual menjadi satu pengalaman yang bermakna.
“Seperti biasa, kehadiran kami disambut dengan wajah-wajah mesra. Seronok melihat anak-anak datang mendekat, manakala ibu bapa dan warga kampung sudi meluangkan masa untuk berbual dan berkongsi cerita.
“Kit Makanan Bantuan Negeri Pahang turut disampaikan sebagai tanda kasih, keprihatinan serta penghargaan atas sokongan dan kepercayaan masyarakat Orang Asli kepada Kerajaan Negeri Pahang,” ujar beliau. – UMNO Online
