Sustainable Johor, JETCO Terus Perkukuh Impak Pembangunan Johor

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Sustainable Johor dan Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO) akan terus memperkemas pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan secara lebih tersusun dan memberi impak lebih besar kepada Johor.

Pengerusi Eksekutif JETCO, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membentangkan perkembangan semasa Sustainable Johor dan JETCO.

Menurut beliau, pertemuan berkenaan bukan sekadar menyampaikan laporan mengenai perkara yang telah dilaksanakan, malah turut menilai perkembangan semasa serta mengenal pasti perkara yang masih belum diselesaikan.

“Apa yang sudah kita buat, apa yang belum selesai dan ke mana Sustainable Johor dan JETCO selepas ini menjadi antara perkara yang kita teliti.

“Daripada apa yang telah berlaku, kita susun apa yang perlu dibuat selepas ini supaya setiap inisiatif dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan memberi impak yang lebih besar kepada Johor,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan mempunyai hala tuju jelas serta selari dengan aspirasi pembangunan negeri.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif JETCO, Mohd Shahrin Dato’ Rahmat dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Sustainability Centre, Tuan Haji Syed Norul Shahril Syed Nasir.

Sustainable Johor dan JETCO terus menjadi antara platform penting dalam memperkukuh kerjasama serta meneroka peluang baharu yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan Johor.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO