ADUN Lantikan Mampu Bawa Suara Majoriti, Minoriti Rakyat Pahang – Syed Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu bersifat keperluan dalam membantu Kerajaan Negeri Pahang untuk membawa suara rakyat sama ada minoriti ataupun majoriti, kata ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Menurut beliau, ia juga membantu kerajaan negeri agar agenda membantu rakyat dilakukan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

“Sebenarnya keperluan melantik Ahli Dewan sememangnya ada. Sebab itu pada 2021 Dewan bersetuju mewujudkan perjawatan ini. Mereka ini dilantik bertujuan membantu Kerajaan Negeri Pahang untuk membawa suara orang ramai sama ada minoriti ataupun majoriti kepada Dewan untuk mendapat perhatian kerajaan.

“Di samping membantu untuk menyampaikan mesej-mesej kerajaan dengan lebih ramai, cepat dan berkesan. Setiap tugasan dan beban kerja seandai dilaksana secara kolektif sudah pasti lebih mudah dan berkesan.

“Kerja di dalam jumlah individu yang lebih ramai adalah lebih baik. Kerana Allah tentukan setiap yang jumlah individu yang lebih besar faktor kelemahan dan kepesongan adalah lebih mengecil,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli turut sama menjawab persoalan yang ditimbulkan iaitu ketiadaan wakil Orang Asli seperti yang dibangkit oleh wakil Pas.

Menurut beliau isu tiada wakil Orang Asli tidak timbul kerana Menteri Besar Pahang telah melantik pegawai khasnya dalam kalangan Orang Asli yang bertaraf pegawai tadbir diplomatik.

Syed Ibrahim malah berkata beliau sendiri berasal dari Kuala Krau yang sangat akrab dengan lebih 10 buah Kampung Orang Asli serta diamanahkan oleh Menteri Besar untuk memegang portfolio Orang Asli di Pahang.

“Setelah itu Senator Datuk Ajis Sitin merupakan Ahli Dewan Negara. Beliau sendiri adalah di kalangan Orang Asli yang berpendidikan. Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor juga adalah Orang Asli yang kini menyandang sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Ini tidak termasuk Cikgu Johari Alwi merupakan anak Bera menyandang jawatan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang. Beliau Orang Asli yang berpendidikan tinggi berasal dari salah sebuah KOA di Bera.

“Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia Datuk Sapiah Mohd Nor juga mampu mewakili suara Orang Asli Pahang berasal dari Kampung Kuala Boh Cameron Highlands. Ini tidak termasuk Orang Asli Corporation (Oraco) Pahang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang menitik berat soal pembangunan Orang Asli di Negeri Pahang. CEOnya Datuk Olian Abdullah juga merupakan keturunan Orang Asli anak Pahang Darul Makmur yang berpendidikan tinggi dan pernah dilantik sebagai Senator,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut menyifatkan nama-nama yang dibentang untuk dilantik sebagai ADUN membawa manifestasinya tersendiri kerana latar belakang pendidikan dan pengalaman tersendiri.

“Apatah lagi di kalangan mereka ada yang berlatar belakang pengajian Islam. Seorang daripada mereka adalah lepasan Tahfiz Syubra cawangan Al Azhar di Mesir. Ada juga dari lepasan Universiti Islam Antarabangsa.

“Mereka ini sewajarnya dialu-alukan oleh para ilmuan agama manakala seorang lagi dari masyarakat Cina.

“Melalui latar belakang mereka ini sudah pasti mampu membawa misi pembangunan agama, budaya, pendidikan, kemasyarakan, bangsa, ekonomi dan kebajikan termasuk hal ehwal Orang Asli, Melayu, Cina, India dan lainnya,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.