Gelombang Kembali Bangkit Bersemarak, UMNO Labuan Tekad Terus Perkukuh Parti

LABUAN, 13 Mei – Persidangan UMNO peringkat cawangan menyaksikan parti tersebut mendapat tempat malah anggota akar umbi tampil beramai-ramai menjayakan mesyuarat terbabit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengakui bahawa mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung ketika ini menunjukkan satu gelombang baharu dalam parti.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, berdasarkan kepada persidangan yang dilaksana di cawangan-cawangan UMNO Bahagian Labuan, sambutan dari anggota akar umbi amat memberangsangkan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan dan ahli UMNO Cawangan Patau-Patau 1 yang telah berjaya mengangkat dan menzahirkan semangat kebangkitan UMNO. Suasana menyemarakkan parti amat dirasai dalam persidangan yang berlangsung dengan jayanya,” kata beliau kepada UMNO Online mengulas berkaitan persidangan terbabit yang diadakan pada Sabtu.

Ujarnya, suasana keraian dan semangat perjuangan sebagaimana dizahirkan dalam mesyuarat cawangan biasanya hanya berlaku ketika kempen pilihan raya sahaja.

“Saya merasakan macam kempen pilihan raya dengan kehadiran yang begitu ramai.

“Rata-rata persidangan UMNO yang saya hadiri menunjukkan sokongan yang cukup luar biasa. Inilah suara rakyat dan ahli UMNO yang tentunya mahukan parti tersebut kembali kukuh.

“Terima kasih kepada semua yang daripada dulu hingga sekarang terus-terusan bersama-sama parti dan insya-allah kita akan sama-sama terus memperjuangkan permasalahan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah meraikan ulang tahun UMNO pada 11 Mei dengan suasana yang amat bermakna apabila melaksanakan khidmat bakti turun padang menyantuni masyarakat setempat.

“Walaupun UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lepas, itu tidak menghentikan untuk UMNO Labuan terus membantu dan berbakti kepada masyarakat setempat.

“Inilah yang kami lakukan sejak setahun yang lepas selepas saya mengetuai kepimpinan UMNO Labuan.”

Dalam hal ini, beliau bersama barisan jawatankuasanya telah menziarahi warga istimewa yang cacat penglihatan sejak lahir.

“Saya bersama kepimpinan UMNO Labuan menziarahi abang Ahmad, 61 tahun dan adiknya, kakak Aminah, 48 tahun yang cacat penglihatan sejak dilahirkan lagi. Keluarga mereka ini sembilan orang adik beradik dan empat daripadanya cacat penglihatan. Saya sangat tersentuh dengan pertemuan ini kerana melihat gelagat mereka yang penuh dengan sifat kasih sayang.

“Walaupun mereka cacat penglihatan tetapi kehidupan mereka tetap ceria dan senang hati. Kita pula yang cukup sifat ketika dilahirkan sehingga hari ini belum tentu mendapat keceriaan sebagaimana mereka.

“Apa pun kita perlu sentiasa bersyukur pada Allah SWT. Insya-Allah saya akan membantu dan usahakan beberapa keperluan agar mereka boleh meneruskan kehidupan ini dengan selesa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.