Khaled Seru Keluarga Besar UMNO Hayati Perjuangan, Terus Pilih Jalan Kesederhanaan

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Bersempena hari ulang tahun UMNO yang ke-78, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Nordin mengajak semua untuk mengenang kembali sejarah panjang parti ini.

Ujarnya, UMNO telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan, jatuh dan bangun, hinggakan, pada suatu ketika, ia pernah diharamkan.

“Alhamdulillah. Hari ini, meskipun tidak sehebat dahulu, UMNO masih sebahagian daripada kepimpinan negara. Masih menjuarai isu yang melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam. Kekal menjadi suara kepada orang Melayu dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan bangsa.

“UMNO dari dahulu lagi sentiasa memilih jalan kesederhanaan. Tidak ekstrim dan melampau. Malah jauh sekali radikal. Parti ini percaya bahawa, rahsia keamanan dan keharmonian adalah apabila seluruh negara bersatu membangunkannya,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya sempena ulang tahun UMNO.

Katanya, kemakmuran dan kedamaian yang dinikmati hari ini, adalah hasil daripada prinsip kesederhanaan yang UMNO bawa sejak dahulu lagi.

“Bersempena Hari UMNO ke-78 ini, saya menyeru seluruh keluarga besar parti ini untuk bersama-sama menghayati perjuangan parti kita ini. Jatuh bangun, maju mundur UMNO, kitalah menentukannya.

“Jangan sesekali kita mensia-siakan perjuangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah mewariskan parti ini untuk kita. Selamat ulang tahun UMNO ke-78,” – katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.