PRK KKB: Tingkatkan Lagi Jentera Sehingga Pusingan Akhir – Megat Zulkarnain
KUALA KUBU BHARU, 7 Mei – Berbaki lima hari lagi sebelum pengundian pada 11 Mei ini, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) yang bermula sejak 27 April lalu menyaksikan calon yang bertanding khususnya dari Kerajaan Perpaduan semakin rancak di beberapa lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Selepas lebih seminggu berkempen, bahang kemeriahannya sudah mulai terasa apabila jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menyantuni dan mendekati pengundi pelbagai masyarakat.
Dalam tempoh tersebut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang juga Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata UMNO/BN giat menjalankan kempen bagi menemui dan meraih undi menjelang PRK DUN Kuala Kubu Bharu menjelang hari pengundian pada 11 Mei depan.
“Saya amat berpuas hati melihat terutamanya jentera-jentera UMNO dari bahagian Hulu Selangor yang telah pun turun ke padang dan berkerja keras secara 100 peratus untuk menyakinkan pengundi-pengundi agar memilih calon Kerajaan Perpaduan.
“Ini akan kita tingkatkan dari semasa ke semasa dan ada beberapa hari lagi cuma jangan terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku di pusingan akhir seperti ini.
“Secara keseluruhan UMNO/BN Selangor akan terus mempertingkatkan lagi usaha jentera. Pastikan ahli-ahli UMNO akan keluar mengundi beramai-ramai pada 11 Mei nanti dan memberikan undi kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Calon Kerajaan Perpaduan dari Dap, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Khairul Azhari Saut, Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online