Pilihlah Calon Kerajaan Perpaduan, UMNO/BN Bantu Raih Sokongan Pengundi – Azhari

KUALA KUBU BHARU, 28 April- Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari berpandangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu ini adalah calon yang segar, orang muda dan berpengalaman dari segi pentadbiran.

Jelasnya, calon tersebut diterima oleh semua kaum dan UMNO/Barisan Nasional (BN) akan sentiasa membantu bagi memberikan kemenangan pada pilihan raya ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa beliau akan diterima oleh semua kaum dan akan membawa keputusan kemenangan yang lebih baik daripada yang terdahulu serta dapat berikan khidmat bakti terbaik kepada masyarakat khususnya dalam DUN Kuala Kubu Bharu.

“Sememangnya BN membantu secara ‘all out’ calon dari Kerajaan Perpaduan sepertimana mereka pernah membantu UMNO/BN pada PRK Pelangai. Kita harus menunjukkan pada masyarakat di luar sana bahawa ini adalah bukan soal parti tetapi ingin mengekalkan pimpinan kerajaan yang ada terutamanya dari segi pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri ini dengan lebih baik.

“Saya harapkan kepada semua pengundi khususnya di DUN Kuala Kubu Bharu ini, keluarlah beramai-ramai untuk memberikan kemenangan dan mengekalkan kerusi ini dibawah calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya kata Azhari, secara tradisinya UMNO/BN akan terus hormati kerusi DUN mahupun Parlimen yang dimenangi oleh parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan kerusi tersebut.

“Secara dasarnya UMNO/BN akan menghormati siapa yang menang dan akan mengekalkan kerusi itu untuk parti tersebut.

“Secara tradisinya UMNO/BN menghormati kerusi tradisi mana-mana parti dan itu tidak bermakna boleh berunding pada masa-masa akan datang. Pada pengalaman yang lalu ada juga pertukaran-pertukaran kerusi dan ianya tertakluk pada keperluan ketika itu,” jelas beliau.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK KKB merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.  – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.