Johor Tarik Potensi Pelaburan Lebih RM5 Bilion

JOHOR BAHRU, 21 Ogos – Johor berjaya menarik potensi pelaburan bernilai lebih RM5 bilion hasil siri pertemuan bersama pelabur semasa lawatan kerja Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ke Singapura.

Onn Hafiz berkata perkembangan itu mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh dalam kalangan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan serta hab pertumbuhan baharu di rantau ini.

Menurut beliau, potensi pelaburan berkenaan melibatkan beberapa sektor strategik dan berteknologi tinggi, termasuk teknologi optik berkelajuan tinggi, teknologi kesihatan serta peralatan pembuatan semikonduktor.

Katanya, kemasukan pelaburan dalam sektor berkenaan bukan sahaja membawa nilai ekonomi kepada negeri, malah berpotensi memperkukuh pemindahan teknologi, kepakaran dan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Johor.

“Dalam setiap pertemuan, antara perkara utama yang diberikan perhatian oleh pelabur ialah ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Bagi pelabur yang mahu berkembang dalam industri berteknologi tinggi, bukan sahaja infrastruktur dan kemudahan yang penting, tetapi keyakinan bahawa Johor mempunyai tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan bakat menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan latihan dan pembangunan kemahiran diselaraskan dengan keperluan sebenar industri.

Ujarnya, pendekatan itu penting supaya rakyat Johor, khususnya golongan muda, mempunyai kemahiran yang diperlukan apabila pelaburan baharu direalisasikan dan pekerjaan berkualiti diwujudkan.

Pada masa sama, katanya, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) akan terus memainkan peranan dalam membantu memudah cara serta mempercepatkan urusan berkaitan pelaburan di negeri itu.

Onn Hafiz turut berharap segala potensi pelaburan yang diterokai menerusi lawatan berkenaan dapat direalisasikan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan manfaat ekonomi kepada rakyat Johor.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap pelaburan yang masuk membawa manfaat kepada negeri dan Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO