Malaysia Suarakan Pendirian Isu Gaza, Konflik Asia Barat Pada Mesyuarat Khas WEF

RIYADH, 27 April ¬- Malaysia akan menyuarakan pendirian tegas mengenai keganasan Israel di Gaza dan ketegangan geopolitik di Asia Barat pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung dua hari bermula esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berharap negara-negara yang dahulunya mempunyai pandangan berbeza dengan Malaysia akan mengambil pendirian sama berhubung isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Malaysia tidak pernah berganjak berkenaan isu penderitaan serta perjuangan rakyat Palestin dan kita mahu melihat mereka diberi hak yang sama serta mendirikan sebuah negara merdeka dan diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya kepada pemberita ketika melawat Kedutaan Malaysia di sini, hari ini.

Mohamad berkata, beliau juga akan menyentuh mengenai ketegangan di Asia Barat agar ia tidak menjadi krisis serantau apabila bertemu dengan rakan-rakan sejawat yang turut menghadiri WEF.

“Saya berharap mereka yang mempunyai kepentingan akan bersama-sama melihat ini sebagai sesuatu yang kita mesti kendurkan dan damaikan agar tidak menjadi krisis di Asia Barat,” katanya.

Mengenai jemputan peribadi Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyampaikan ucaptama pada mesyuarat itu bersama pemimpin negara lain, Mohamad berkata, ia adalah pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

Mohamad berkata, beliau bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan menyertai beberapa sesi serta bertemu pemimpin industri pada mesyuarat khas itu.

“Saya yakin ini akan dapat kita jadikan platform untuk memberi gambaran lebih dekat kepada pelabur-pelabur dan syarikat multinasional yang belum ada di Malaysia untuk mereka melihat kedudukan unik negara di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu tepat pada masanya ketika Malaysia memposisikan diri sebagai middle state dan dilihat sebagai negara yang mempunyai kedudukan strategik di Asia Tenggara untuk ke Asia Timur dan kawasan lain.

“Banyak negara sedang membuat dasar de-risking dan decoupling, mengambil iktibar peperangan Russia-Ukraine. Jadi banyak negara tidak mahu lagi terlalu bergantung kepada satu negara,” katanya.

Mesyuarat Khas WEF, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdul Aziz, bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ dan dijangka dihadiri ketua-ketua negara serta kerajaan selain pemimpin industri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.