Mesyuarat UMNO Cawangan Penting Pastikan Kesinambungan Perjuangan, Kembalikan Kekuatan Parti

PUTRAJAYA, 26 April –Tempoh mesyuarat Cawangan UMNO yang berlangsung bermula 22 April hingga 2 Jun depan adalah adalah ruang terbaik kepada ahli-ahli UMNO untuk mengembalikan tekad perjuangan parti.

Senator Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya berkata persidangan yang berlangsung melibatkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi amat penting bagi meneruskan perjuangan parti.

“Biarpun mesyuarat UMNO Cawangan ini adalah rutin tahunan namun ia amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti dilaksana kerana jasa dan baktinya sejak mempelopori kemerdekaan tidak dapat disangkal.

“UMNO telah melalui pelbagai cabaran sejak dari penubuhannya dan kewujudannya hingga ke hari ini adalah bukti kesungguhan bagi memastikan penghayatan kepada perjuangan berteraskan agama, bangsa dan negara tetap dilaksana,” katanya kepada UMNO Online.

Sebelum itu, beliau telah merasmikan persidangan UMNO Cawangan Bunga Mawar di Bahagian Putrajaya yang berlangsung malam tadi di Presint 3, di sini.

Turut hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd.Faisal Abdul Karim, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Husna Rahaman; Ketua Puteri Bahagian, Salwa Shokri dan Naib Ketua Pemuda Bahagian Mohd Zuazwarey Zulkifli.

“Tahniah diucapkan kepada UMNO Cawangan Bunga Mawar di UMNO Bahagian Putrajaya kerana berjaya mengadakan persidangan.

“Cawangan UMNO Bunga Mawar merupakan antara 15 cawangan terawal di Putrajaya ketika UMNO Bahagian Putrajaya ditubuhkan dulu dan masih aktif sehingga ke hari ini.

“Tahniah buat ketuanya, Saiful Sulaiman dan barisan kepimpinan cawangannya yang terus giat melaksanakan gerak kerja dalam keadaan pelbagai kekangan khususnya ketika UMNO kini bergelar pembangkang di Parlimen ini. Moga khidmat bakti yang ditabur akan berterusan dan sokongan kepada UMNO akan bersemarak sebagaimana dulu, untuk masa kini dan pada masa hadapan kelak,” katanya lagi.

Persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula Isnin lalu dan akan berakhir pada 2 Jun 2024 yang akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.