Mesyuarat Cawangan Bukti Keterbukaan UMNO, Terima Pandangan Akar Umbi Ke Arah Pengukuhan

KUALA LUMPUR, 26 April – UMNO sebagai sebuah parti yang berstruktur dan berteraskan kekuatan akar umbi terbuka dalam menerima pandangan daripada ahli parti ke arah pengukuhan parti keramat ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias.

Katanya ia terbukti melalui persidangan cawangan UMNO yang diadakan pada ketika ini bagi kepimpinan memperolehi idea baharu dalam usaha memastikan parti ini kekal relevan dalam mendepani dinamika politik yang berbeza.

“UMNO adalah parti yang berteraskan ahli-ahli di akar umbi maka sewajarnya mesyuarat cawangan adalah pentas untuk suara dari parti untuk diangkat ke peringkat atasan.

“Persidangan peringkat Cawangan ini adalah antara bukti kewujudan UMNO yang mempunyai struktur mantap, organisasi tersusun di semua peringkat dan ditunjangi oleh lapisan masyarakat dari segenap penjuru negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, UMNO masih kekal dalam perjuangan asalnya dalam membela nasib rakyat seperti mana tujuan asal penubuhannya.

“Inilah parti yang mempunyai asas tujuan berteraskan realiti dan kita jadikan mesyuarat cawangan ini sebagai landasan untuk kembali perkukuh UMNO, iaitu bermula dari rakyat sebagai ahli akar umbi, kembali kepada rakyat jugalah perjuangan kita ini.”

Terdahulu, persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula Isnin lalu dan akan berakhir pada 2 Jun 2024.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.