Azalina Jemput Seluruh Warga Pengerang Meriahkan Majlis Rumah Terbuka Malam Ini

KUALA LUMPUR, 26 April – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menjemput seluruh warga di kawasan tersebut untuk hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pengerang 2024 yang akan diadakan pada malam ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO telah membuat tinjauan bagi persiapan majlis tersebut, semalam.

“Saya telah membuat tinjauan bagi persiapan terakhir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang 2024 yang akan berlangsung pada Jumaat malam.

“Program ini akan diadakan di Dataran Tasik Bandar Penawar bermula jam 8.00 sehingga 11.00 malam,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pengisian menarik telah dirancang untuk menggamatkan lagi suasana majlis tersebut seperti persembahan daripada artis-artis ternama tanah air.

“Sehubungan itu, saya ingin mengajak semua penduduk di kawasan Parlimen Pengerang ke majlis rumah terbuka ini.

“Pelbagai pengisian menarik telah dirancang pada majlis tersebut termasuk persembahan menarik daripada artis-artis ternama tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Mus May dan banyak lagi.

“Kita jumpa di sana!” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.