Terpalit Isu Rasuah, Perikatan Nasional Terus Legasi Kepimpinan Ke Peringkat Negeri

SEMALAM negara digemparkan dengan penahanan anak Menteri Besar Perlis yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Dilaporkan turut ditahan ialah dua penjawat awam, masing-masing pegawai kanan Pejabat Menteri Besar serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala tiga lagi adalah kontraktor syarikat.

Berita ini amat mengejutkan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis dipimpin Pas hanya berusia kira-kira setahun lima bulan.

Dalam tempoh sesingkat itu, belum ada pencapaian yang benar-benar boleh dibanggakan, tetapi lain pula berlaku apabila kerajaan Pas Perlis terpalit isu penyelewengan yang serius kerana ia melibatkan anak ketua pentadbiran negeri, serta orang kuat dalam pejabat Menteri Besar.

Apa yang amat mengejutkan dan menimbulkan persoalan adalah bagaimana anak seorang Menteri Besar yang tiada kena-mengena dengan pentadbiran negeri, boleh terlibat sama dalam siasatan ini.

Semua ini menuntut penjelasan pimpinan negeri, terutama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Rakyat perlu tahu dan diberikan penjelasan yang tuntas kerana ia berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Malah siasatan dipercayai turut menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

Sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri wajar mendedahkan apa peranan anaknya dalam kerajaan negeri? Begitu juga apa hubungan pegawai kanan Pejabat Menteri Besar dengan anaknya.

Ironinya baru beberapa hari lalu Mohd Shukri berkata bahawa PN Perlis sedia menjadi galang-ganti kepada UMNO bagi mentadbir negeri sambil menyifatkan lumrah kehidupan yang naik pasti akan turun, dipercayai merujuk kepada UMNO.

Kenyataan itu seolah-olah kerajaan PN Perlis pimpinan beliau adalah kerajaan terbaik berbanding kerajaan terdahulu di bawah UMNO.

Rupa-rupanya apa yang disebut Mohd Shukri ibarat kifarah apabila pentadbirannya sendiri ternyata bukanlah yang terbaik, malah tidaklah ‘BERSIH dan STABIL’ seperti sering dilaungkan pemimpin-pemimpin PN.

Banyak kelemahan dan isu-isu rakyat masih gagal ditangani negeri-negeri pimpinan PN termasuk Perlis, umpamanya masalah air yang tidak pernah selesai, projek-projek dirancang yang tidak ditunaikan, tetapi mendabik dada kononnya mereka yang terpaling BEST.

Pada masa sama, kita menantikan reaksi pimpinan tertinggi Pas dan PN dalam isu ini kerana reputasi Menteri Besar dan Pas Perlis telah tercalar susulan kes ini.

Sebagai sebuah parti Islam yang sering melabel UMNO dengan pelbagai gelaran, cacian dan tuduhan, mana mungkin Pas boleh terpalit dengan isu penyelewengan seperti ini.

Namun kini nasi telah menjadi bubur, kerajaan yang baru berusia setahun lima bulan telah pun tercalar reputasinya.

Kalau sebelum ini menantu pemimpin tertinggi PN daripada Bersatu terpalit kes pecah amanah jenayah (CBT) oleh SPRM, kini giliran anak Menteri Besar Perlis daripada Pas pula disiasat.

Apa sudah jadi dengan slogan PN Best yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil? Nampaknya tidaklah bersih seperti dikata.

Seperkara lagi, apa sudah jadi dengan Jawatankuasa Khas yang pernah diumumkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 15 lalu, kononnya bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam tawaran PN Best.

Sepatutnya Jawatankuasa Khas itu (jika ada) turut memantau pejabat Menteri Besar agar tiada anak atau pegawai terlibat ‘sakau’ wang rakyat. Ternyata PN tidak layak menjadi galang-ganti kepada UMNO.


DATUK MOHD RAZLAN RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.