Kepentingan Orang Melayu Dan Agama Islam Sentiasa Menjadi Keutamaan UMNO
KUALA LUMPUR, 13 April – Kepentingan orang Melayu dan agama Islam sentiasa menjadi keutamaan UMNO seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti keramat ini, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.
Menurut beliau, ini dapat dilihat apabila pemimpin-pemimpin UMNO tidak berdiam diri apabila isu-isu membabitkan perkara tersebut dimainkan oleh pihak tertentu.
“UMNO ada Perlembagaan sendiri dan kita sebagai ahli parti ada budaya dan etika parti. Walaupun kita duduk dalam Kerajaan Perpaduan, tak ada sekalipun melanggar etika ataupun Perlembagaan parti kita.”
Katanya, UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangan sebagaimana yang digariskan sewaktu penubuhannya iaitu atas nama agama, bangsa dan negara.
“UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangan dan UMNO tetap mempertahankan agama, bangsa, negara. Telah terbukti kalau ada isu walaupun membabitkan parti dalam gabungan kerajaan kita melihat pemimpin parti melontarkan pandangan dan membidas apa jua perkara yang ada terguris hati orang Melayu dan agama Islam.
“Kita lihat beberapa pemimpin Dap, walaupun dalam Kerajaan Perpaduan, ada beberapa isu belakangan ini kita dengar perkara yang ada mengaitkan agama Islam, bangsa Melayu dan benda ni kita tak berdiam diri.
“UMNO tidak berdiam diri, tidak pernah berdiam diri pun, akan buat satu kenyataan tentang pencerahan dan membidas apa jua perkara-perkara yang menyentuh dan menguris perasaan orang Melayu dan agama Islam,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Menyentuh isu yang sama, beliau berkata ahli parti tidak perlu goyah sekiranya pihak pembangkang memainkan sentimen negatif kerana UMNO tidak pernah tunduk kepada mana-mana pihak.
“Akar umbi tidak mudah goyah dengan segala dakyah ataupun segala pendangan persepsi bila umno duduk di dalam kerajaan bersama Pakatan Harapan. Seolah-olah macam kita.
“Jadi bila ada benda perkara-perkara yang mengatakan bahawa kita ni seolah-olah macam tunduk, itu tak benar,” ujar beliau. – UMNO Online