MB Johor Sambut Baik Pengumuman Insentif Kerajaan Pusat

SIMPANG RENGGAM, 15 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyambut baik pengumuman-pengumuman insentif oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri tersebut dan berhasrat untuk melaksanakannya sebaik mungkin bagi menyumbang kepada pembangunan rakyat.

Jelasnya, Johor mengimpikan sebuah negeri yang maju menjelang pada tahun 2030 dan ia hanya akan dapat dicapai sekiranya kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan secara erat.

“Pada kesempatan ini bagi mewakili kerajaan negeri saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak jemu-jemu datang ke Johor.

“Buat pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, setiap kali banjir menteri pertama hadir ialah Timbalan Perdana Menteri kita. Setiap kali banjir itu beliau tidak datang dengan tangan kosong. Saya telah mendapat laporan bahawa sejumlah RM250 juta telah diumumkan secara keseluruhannya dalam tempoh dua atau tiga tahun ini. Terima kasih kita ucapkan kepada beliau.

“Kami di Johor mempunyai cita-cita yang agak besar. Kita di Johor mengimpikan sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030 dan saya yakin ia dapat kita laksanakan jika semua pihak di peringkat kerajaan negeri bergabung dengan Kerajaan Persekutuan. Perkara ini boleh menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di perkarangan Masjid Jamek Layang-Layang, di sini, petang semalam.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM4.7 bilion secara keseluruhannya yang turut melibatkan projek tebatan banjir.

“Dalam masa setahun ini jumlah keseluruhan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 dan 2024 berjumlah RM4.7 bilion. Ini satu angka yang cukup besar. Ia termasuk peruntukan sebanyak RM1.6 bilion untuk projek-projek tebatan banjir.

“Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri juga telah mengumumkan pelebaran lebuh raya dari Johor Bahru sehingga ke Simpang Renggam. Kita doa supaya ada fasa yang seterusnya sampai ke kawasan Tangkak.

“Tidak cukup dengan itu diumumkan pula Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 yang melibatkan peruntukan berbilion ringgit, menaiktaraf HSA RM500 juta. Telah diumumkan juga sebagai kawasan ‘special economic zone’ dan ‘special financial zone’. Tidak ada negeri yang mendapat begitu banyak pengumuman dan juga kelebihan seperti ini,” katanya lagi.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Johor akan memastikan dengan adanya ‘special economic zone’, Johor akan terus berkembang pesat melalui aspek ekonomi sekaligus membantu percambahan pendapatan negara.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita mengalu-alukan pengumuman sedemikian dan sambut baik untuk memastikan segala yang diumumkan oleh pucuk pimpinan negara ini dapat kita laksanakan dengan baik sebab ini semua akan menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kita akan pastikan melalui ‘special economic zone’ itu ekonomi Johor ini akan terus berkembang yang tidak hanya akan membantu Johor sahaja bahkan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhannya. Insya-Allah kita akan terus melaksanakan program ini dan memastikan apa sahaja yang diumumkan itu benar-benar dilaksanakan.

“Tetapi dalam kita mengejar pembangunan, kita juga tidak lupa kepada mereka yang memerlukan dan saya yakin itulah sebabnya Timbalan Perdana Menteri mengadakan program Santunan Kasih Ramadan. Buat pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, dalam banyak-banyak negeri yang boleh dilawati beliau, bumi bertuah Johor merupakan negeri pertama dipilih,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, para kepimpinan Johor setiap peringkat dan masyarakat setempat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.