Hilang Semangat Melayu Petronas?

SEMALAM saya menerima dan membaca kenyataan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang menyentuh ketidakpuashatian kontrak sistem pembekalan solar panel oleh syarikat bukan bumiputera iaitu Solarvest Energy yang memonopoli 300 stesen minyak Petronas di seluruh negara. Dikhabar projek bernilai RM1juta untuk setiap stesyen minyak.

Saya amat bersetuju dan menyokong kenyataan DPMM. Alasan yg diberikan ada merit dan kebenarannya. Persoalan kenapa tidak diagihkan sekurang-kurangnya kuota 30% dari 300 stesen minyak diberikan kepada syarikat bumiputera/Melayu.

Apa ingat syarikat orang Melayu tak tahu berniaga industri solar dan tenaga baru dalam negara kita?

Malu jika Presiden atau GCEO dan Pengurusan Tertinggi Petronas sendiri dan megah dengan Menara Berkembar Petronas KLCC tetapi tidak mempunyai jati diri dan semangat bumiputera/Melayu. Hanya sembang kencang dan penuh dengan retorik ketika menjadi panel Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 baru-baru ini.

Bayangkan sekiranya 30% diagihkan, sekurang-kurangnya kita boleh mencipta satu atau dua syarikat bumiputera untuk berdaya saing dgn syarikat bukan bumi.

Ini adalah masanya Petronas untuk bantu mewujudkan ‘bumi player’ dalam industri solar. Tak payah beri pelbagai alasan kata syarikat Melayu tak mampu, tak ada kepakaran, tak cukup modal. Sebenarnya kalau nak bantu pepatah ada menyebut “nak seribu daya tak nak seribu dalih”.

Akhir kata, sebagai parti politik UMNO yang telah banyak memain peranan, memperjuang, meletakkan asas dan dasar untuk memperkasakan agenda Melayu/Bumiputera seperti KEB, Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) dan lain-lain sering kali dirosakkan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas ini.

Saya sendiri pernah membuat kenyataan bahawasanya GLC-GLC ini ‘lebih membunuh’ usahawan-usahawan Bumiputera/Melayu dari membantu mereka untuk berjaya sebenarnya.

Maaf cakap, inilah salah satu faktor kenapa kita tidak dapat menwujudkan Konsep 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan pengusaan seperti apa yang disentuh oleh YAB Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dalam ucapatamanya di KEB2024.

Mungkin UMNO kena semak GLC-GLC lain yang dikhabarkan ada lebih 130 syarikat yang mungkin juga ada perangai seperti Petronas. Wallahu a’lam.

Gulam Muszaffar Gulam Mustakim
Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.