Hari Wanita: Peranan Mereka Amat Penting Dalam Memperkasa Kesejahteraan Dan Kemakmuran Negara

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Hari Wanita yang disambut hari ini kepada semua golongan itu.

Kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, peranan wanita amat penting dalam memperkasa kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita, khususnya buat rakyat Malaysia tidak kira siapa dan di mana jua anda berada.

“Tahun ini, tema Wanita Dijulang Negara Gemilang adalah amat bertepatan dalam usaha kita memangkin peranan penting wanita dalam masyarakat, ekonomi dan kehidupan,” kata Ahmad Zahid dalam satu perkongsian di laman sosialnya.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, meraikan golongan wanita tidak hanya terhad kepada 8 Mac setiap tahun tetapi ia merupakan satu simbolik bagi mengiktiraf peranan mereka.

“Hari ini, bukanlah bermakna hanya satu hari untuk kita mengiktiraf dan menghargai golongan wanita, tetapi hari ini adalah ruang untuk kita santuni pengorbanan wanita agar dapat terus memperkasa kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.