Dekati Anak Muda Sebaiknya, Perkasakan Parti – Nurul Amal

ALOR GAJAH, 8 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menasihati ahli-ahli Puteri UMNO agar melakukan satu pendekatan yang dapat memberi manfaat pada parti.

Jelasnya, perancangan yang dilakukan harus menjiwai citarasa generasi-generasi muda dan seterusnya mampu memberi penambahbaikan kepada UMNO.

“Ini tahun 2024, mungkin pendekatan kita tidak boleh pakai pendekatan yang lama mungkin ada pendekatan yang baharu. Buat apa-apa saja asalkan perkara itu memberi manfaat pada parti. Sesuatu program ataupun perancangan mesti ada penambahbaikkan pada parti, jangan lagi syok sendiri.

“Kadang-kadang perkara itu sudah dibuat pada tahun lepas, takkan 2024 nak buat perkara yang sama. Generasi pun sudah berbeza dan kena ‘tackle’ ketiga-tiga generasi ini khususnya Puteri UMNO kena lihat dan kenal pasti seperti generasi Z, generasi Y dan sebagainya.

“Kita kena ada plan untuk ‘tackle’ golongan ini dan paling susah adalah golongan yang lahir pada ’98 dan inilah golongan yang menjadi cabaran bagi UMNO,” katanya pada Kursus Pengukuhan Komunikasi bagi Penerangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Mustapa Musa serta Exco-exco Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Tambah Nurul Amal, Puteri UMNO harus memperkasakan parti dan bukan sekadar perkasakan diri sendiri.

 

 

“Kita sudah perkasakan Puteri UMNO bukannya sekadar perkasakan diri sendiri tapi perkasakan dalam bentuk kumpulan dan ’empower’ semua orang. Pembaharuan daripada bahagian-bahagian supaya jangan terikat dengan satu golongan sahaja.

“Tolonglah beri peluang pada orang yang berada di peringkat bahagian khususnya anak muda walaupun mereka orang baru tapi biar mereka berada dekat kita supaya tidak lari dari landasan.

“Saya harapkan satu pembaharuan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO supaya boleh perkasakan dan lebih ramai. Kepentingan parti lebih penting dari kepentingan diri,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.