KEB 2024: Aplikasi Ekonomi Kitaran, Mampu Perkasa Kehidupan Peneroka – Shabery Cheek

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menekankan perlu adanya ‘road map’ iaitu jangka masa pendek dan panjang untuk melaksanakan ekonomi kitaran ataupun ‘secular ekonomy’.

Beliau yang membentangkan hasil sesi libat urus FELDA dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, semalam memaklumkan bahawa pelaksanaan ekonomi kitaran akan mampu untuk memperkasakan lagi sosioekonomi para peneroka.

Tegasnya, jika hendak menolong ekonomi bumiputera maka mestilah mencari bidang yang penting bagi masa depan dan berkaitan dengan rakyat.

“Pelaksanaan ekonomi kitaran akan dapat meningkatkan keupayaan para peneroka, pelan rancangan serta mengoptimunkan penggunaan komoditi kelapa sawit di samping menerajui bidang alam sekitar.

“Melalui FELDA juga dapat menghasilkan banyak sisa yang boleh ditukar menjadi penghasilan tenaga dan ianya akan dikejar pada suatu masa nanti kerana kilang-kilang dan pelabur yang datang ke sini mereka akan ‘declare’ bahawa kita menggunakan barang kitar semula dan ini adalah ekonomi baharu bagi masa depan,” katanya.

Jelasnya, konsep ekonomi kitaran merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula untuk memaksimumkan penggunaan dan hasil.

Ahmad Shabery berkata penerapan perspektif berbeza mengenai ekonomi kitaran adalah perlu supaya warga FELDA dapat menjana pendapatan baharu.

Tambah Ahmad Shabery lagi, banyak syarikat pengeluar tenaga mengejar bekalan biojisim yang banyak terdiri daripada hampas perahan yang dipanggil tandan kosong (EFB) serta tempurung kernel yang juga boleh jadi bahan bakar.

“Kalau nak bantu pusat-pusat ini ada ‘cost’, nak bantu maka ini bidangnya, perlu ada dasar sekiranya elektrik yang dijanakan dari sisa sawit tadi dan ianya akan mendapat kredit yang tertentu.

“Ianya juga dapat menjadi asas makanan ternakan dan boleh mengantikan jagung atau kacang soya tetapi perlukan ‘research’ dan ‘research’ itu perlukan dana. Kalau nak bantu bumiputera adalah yang ini ataupun aplikasikan pusat-pusat pengumpulan hampas sawit.”

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada kerajaan dan mengulas berkaitan ucaptama dalam KEB yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malah menganggap ia memberi semangat serta usaha terbaik ke arah memperkasakan ekonomi bumiputera.

“Begitu menyeluruh sekali bukan sahaja dari segi ‘spirit’ yang ditunjukkan bagi melonjakkan kedudukan ekonomi bumiputera tetapi mewujudkan satu masyarakat yang lebih seimbang dan adil.

“Ini adalah perkara yang menjadi intipati kepada ekonomi bumiputera bukan hanya untuk kepentingan satu kaum tetapi dapat dirasai oleh semua kaum,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.